SelangorToday

1 DEKAD AMANAH : MENGAPA MOHAMAD SABU TINGGALKAN PAS?

Berdirinya Parti AMANAH Negara pada hari ini merupakan satu titik tolak daripada pergolakan politik yang berlaku di dalam PAS. Para pemimpin AMANAH tidak segan dan menafikan perkara itu, mereka semua akui bahawa AMANAH merupakan parti serpihan PAS.

Memasuki usia satu dekad, rakyat masih samar-samar dan keliru akan keberadaan AMANAH dalam politik Malaysia atas tujuan apa serta membawa perjuangan apa? Apa yang mereka tahu, parti bertemakan warna jingga itu adalah parti Mohamad Sabu.

Sedangkan, jauh lebih penting daripada itu, kewajaran AMANAH ditubuhkan disaat politik melayu telah terbahagi dua antara PAS dan UMNO diputuskan dalam satu pertemuan diantara golongan politikus yang kebanyakan daripada PAS, pemimpin badan bukan kerajaan(NGO) serta pemimpin agama dalam dan luar negara.

Menubuhkan sebuah parti baru yang mirip PAS iaitu parti politik Islam mungkin mengalami sedikit percanggahan dengan saranan Ustaz Fadzil Noor satu masa dahulu bahawa ‘biarlah hanya satu jemaah Islam sahaja yang ada disebuah negara’. Namun begitu memilih untuk mewujudkan sebuah lagi parti politik bersendikan perjuangan Islam adalah satu keputusan yang telah ditimbangkan atas keadaan PAS ketika itu(2015) berbanding ketika Ustaz Fadzil memberi saranan(80an).

Saranan Ustaz Fadzil satu ketika dahulu atas keyakinanya serta kerelaannya memimpin PAS. Justeru pemikirannya yang moderat serta sesuai dalam konteks Malaysia memberi satu pakej lengkap bahawa PAS sahajalah yang mampu menggantikan UMNO. Saranan itu berguna, selari dan sesuai dengan keupayaan PAS dalam berpolitik ketika itu sehinggalah tahun 2008.

Namun, dibawah era kepimpinan Hj Abdul Hadi Awang, PAS mengalami migrasi ahli dari kalangan mereka yang bergelar agamawan yang merasakan diri mereka terancam. Dari sudut mana ancaman kepada mereka serta faktor apa mereka merasa terancam tidak pernah terbukti. Yang jelas, mereka rasa terancam.

Ancaman itu dilihat terwujud apabila dominasi golongan profesional dan agamawan moderat hasil bimbingan dan ajakan Ustaz Fadzil Noor dalam kepimpinan PAS. Sedangkan golongan yang didakwa mengancam agamawan ini tetap meletakkan Majlis Syura(tonggak kepimpinan ulamak) sebagai teras. Yang berbeza hanyalah pendekatan dan strategi PAS berjuang dalam politik.

Tidak semena-mena, suhu politik PAS menjadi panas. Ukhuwah yang dibentuk atas ikatan sesama Islam menjadi renggang. Tuduh-menuduh sebagai pengkhianat, tikam belakang, menjual agama berkembang pesat dalam PAS. Lebih mendukacitakan, budaya mengkafirkan pihak yang tidak sependapat dengan golongan agamawan dalam PAS menjadi berleluasa.

Mohamad Sabu yang ketika itu sebagai Timbalan Presiden PAS merasakan bibit pergolakan besar itu ada, namun boleh dikawal. Sehinggalah beliau tersingkir daripada kepimpinan PAS, beliau dapat melihat virus atau fenomena politik ‘menghalalkan cara’ bertunjangkan sentimen ekstrimis menguasai PAS.

Jika politik dan amalan itu berlaku kepada UMNO, KEADILAN, DAP ataupun MIC, itu mungkin boleh diterima, sebaliknya ia berlaku di dalam sebuah parti Islam. Situasi ini amat membimbangkan.

Ustaz Ahmad Awang yang mencabar kedudukan Presiden PAS demi memberi signal kepada ahli PAS, bahawa perbezaan pendapat dan pendekatan dibolehkan, telah dituduhkan dengan tuduhan yang menghina serta meruntuhkan status muslimnya. Demi menempatkan diri serta menyingkirkan pihak lawan, tuduhan yang melibatkan akidah berlaku di dalam PAS.

Mohamad, Salahuddin Ayub, Ustaz Ahmad Awang, Dr.Mujahid Yusof serta pemimpin AMANAH yang lain kerap kali kalah dan menang dalam pemilihan PAS. Namun kali ini, fenomena yang berlaku dalam pemilihan PAS dijangka akan menjadi amalan yang PAS akan aplikasikan dalam politik Malaysia.

Jika tidak diberikan satu alternatif lain yang memaparkan konsep sebenar politik Islam, fenomena yang membimbangkan dalam PAS akan mempengaruhi umat Islam serta membentuk tamadun Islam di Malaysia yang seumpama itu. Negara mampu menjadi tidak harmoni manakala imej Islam di Malaysia menjadi buruk.

Maka sebab itu, Mohamad yang satu ketika dahulu ayam tambatan PAS, Salahuddin dan Mahfuz Omar yang menjadi wakil rakyat atas jata PAS serta Dr. Mujahid, Faiz Fadzil dan Nik Omar yang berbapakkan pemimpin tertinggi PAS satu ketika dahulu terpaksa meninggalkan PAS dan menubuhkan AMANAH.

Tujuan yang lebih besar serta tekad yang lebih panjang adalah mahu memaparkan wajah politik Islam yang sebenar. Wajah yang dahulunya ada didalam PAS ketika era Ustaz Fadzil dan Tok Guru Nik Aziz hilang daripada PAS beralih kepada AMANAH. Lebih utama, AMANAH merupakan parti berteraskan Islam yang ada kekurangan dan kelebihannya atas faktor pemimpin itu sendiri, berbeza dengan PAS yang mula membawa naratif PAS merupakan agama Islam itu sendiri.

Secara kebetulan pertembungan antara dua pendekatan dalam PAS itu juga turut menyimpangkan dua laluan yang berbeza buat PAS, sama ada memilih bersama Pakatan Rakyat atau bergerak solo yang condong kepada UMNO. Justeru penubuhan AMANAH bagai dialu-alukan untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh PAS dalam gabungan pembangkang meski kekuatan AMANAH berbeza dengan PAS.

Kebijakan pemimpin AMANAH yang duduk didalam gabungan pembangkang meletakkan AMANAH sebagai parti politik paling muda dinobatkan menang dalam Pilihan Raya. Oleh itu peluang sebanyak dua kali dalam kerajaan itu dimanfaatkan untuk mengekang amalan ekstrimis golongan agamawan serta memaparkan citra Islam yang terkandung segala nilai baik dalam politik AMANAH.

Exit mobile version