 
                SHAH ALAM, 28 Sept — Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar menegaskan bahawa penubuhan parti itu bukan berpunca daripada rasa kecewa, sebaliknya berakar daripada keyakinan terhadap politik nilai yang lebih inklusif untuk Malaysia.
Menurut beliau, selepas sedekad bertahan menghadapi pelbagai cabaran, tohmahan dan fitnah, AMANAH kini berdiri teguh sebagai wadah politik masa depan yang menolak politik kebencian, ekstremisme dan perkauman sempit.
“Kita mendirikan AMANAH kerana percaya pada politik yang berteraskan rahmah, kasih sayang dan semangat kebersamaan masyarakat pelbagai kaum dan agama. Inilah wajah politik baru Malaysia yang kita mahu bawa,” katanya ketika berucap sempena ulang tahun ke-10 parti itu.

Mahfuz menegaskan bahawa walaupun AMANAH sering dilabel sebagai parti kecil dengan jumlah ahli dan cawangan yang terhad, perjalanan politik sebenar tidak diukur hanya melalui saiz organisasi.
“Daripada kecil kita membesar. Tidak ada parti lahir terus jadi gergasi. Apa yang penting ialah idea besar, jiwa besar dan harapan besar yang kita bawa untuk masa depan rakyat,” ujarnya.
Beliau turut menekankan bahawa dalam dekad kedua penubuhannya, AMANAH bersedia untuk “berlari lebih jauh” bersama rakan-rakan dalam Pakatan Harapan dan kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mahfuz juga menyindir pihak lawan yang mendabik dada dengan jumlah keahlian atau kekuatan logistik, tetapi gagal menawarkan gagasan politik yang segar untuk rakyat.
“Apa guna parti besar tapi otak kecil. Kuasa politik hari ini bukan lagi tentang berapa lori ahli yang boleh dikumpul, tapi sejauh mana kita mampu membawa pemikiran dan solusi untuk rakyat,” katanya.
Mengakhiri ucapannya, Mahfuz menegaskan bahawa AMANAH akan terus istiqamah memperjuangkan politik rahmah sebagai landasan membina negara bangsa yang lebih adil, inklusif dan sejahtera.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            