Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer komited melaksanakan tiga agenda dalam manifestonya dalam tempoh 100 hari sekiranya diberi mandat.
Anfaal Saari tekad mengatasi keciciran pendidikan anak-anak Taman Templer yang masih berlaku sehingga kini sejak penularan Covid-19 tiga tahun lalu.
Malah menerusi manifesto ‘Tawaran 5 Tekad 5 Tahun’ bekas Ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) ini turut bertekad meningkatkan akses pengangkutan awam dengan mempopularkan penggunaan Bas Smart Selangor bagi mengatasi isu kesesakan lalu lintas yang menghantui penduduk di kawasan itu sejak sekian lama.
“Dalam tempoh 100 hari saya juga bertekad memberdayakan wanita dan belia dengan jadikan Wanita Berdaya Selangor (WBS) sebagai wadah perdana selain menjadikan Pusat Wanita Berdaya (PWB) sebagai pusat sehenti agenda wanita.
“Saya juga mahu memaksimumkan potensi beliawan dan beliawanis khasnya dari aspek bakat, kepimpinan dan sahsiah agar mereka dapat dibentuk menjadi pempin baharu satu hari nanti.
“Impian saya apabila wanita sebagai jantung sesebuah keluarga diberdaya dan anak muda sebagai masa depan sesebuah masyarakat diperkasa, kita boleh bina negara yang tiada tandingannya dalam generasi akan datang,” katanya ketika melancarkan manifesto 5 Tekad Untuk 5 Tahun Anfaal Saari di Selayang semalam.
Beliau turut memberi tumpuan dalam tempoh 100 hari dengan mewujudkan pusat sehenti untuk wanita dan pekerja gig selain ruang kerja bersama (co-working space) untuk menyokong golongan yang bekerja sendiri.
Dua lagi fokus utama Anfaal adalah menjana peluang pekerjaan menerusi pembangunan eko pelancongan serta industri desa di kawasan itu selain memartabatkan agama menerusi penghayatan konsep Rahmatan lil-‘Alamin (rahmah untuk seluruh alam) bagi menolak pelampau agama yang membawa perpecahan dalam masyarakat.
Kerusi DUN Taman Templer menyaksikan saingan tiga penjuru membabitkan Anfaal menentang calon Perikatan Nasional Zaidy Abdul Talib dan calon Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Aida Nazeera Abdul Rahman.
Hari pengundian bagi PRN Selangor dan lima negeri lain berlangsung 12 Ogos.