
HULU LANGAT, 4 Jun 2025 – Sebanyak 10,000 batang lemang tradisional akan dijual pada harga istimewa kepada penduduk Hulu Langat dan kawasan sekitarnya menerusi program Langek Melomang Vaganza 2025 yang akan berlangsung pada Khamis ini.
Ahli Parlimen Hulu Langat, YB Mohd Sany Hamzan, berkata program tersebut diadakan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha dan menawarkan pakej pembelian tiga batang lemang pada harga RM20, berbanding harga pasaran biasa sekitar RM48.

“Program ini bertujuan meraikan penduduk setempat dan memberi peluang kepada mereka mendapatkan juadah lemang pada harga mampu milik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Acara akan berlangsung bermula jam 3.00 petang bertempat di Kompleks Penghulu, Mukim Hulu Langat, Batu 14.
Tambah beliau, pembelian hanya boleh dibuat secara terus di lokasi acara selagi stok masih ada.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi talian yang tertera di bahan hebahan rasmi program.