 
                SENDAYAN, 31 Julai – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah memulakan pengagihan 150 unit bot komuniti bernilai RM1.8 juta ke seluruh negara bagi memperkukuh kesiapsiagaan operasi menyelamat mangsa banjir pada peringkat awal kejadian.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, bot-bot tersebut akan diserahkan secara berperingkat kepada organisasi yang dikenal pasti berkeupayaan untuk melaksanakan tugas penyelamatan dengan lebih pantas dan berkesan.

“Kesemua bot telah diperoleh sepenuhnya dan kini sedang dalam proses penyerahan kepada penerima yang telah dikenal pasti oleh JBPM. Kita berharap inisiatif ini akan mempertingkatkan keberkesanan respons awal ketika bencana banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kempen Keselamatan Aktiviti di Air Sempena Hari Pencegahan Lemas Sedunia di sini hari ini.
Menurut Aiman Athirah, kempen tersebut adalah sebahagian daripada strategi pendidikan awam untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keselamatan aktiviti air serta pencegahan insiden lemas.

Dalam program yang sama, JBPM Negeri Sembilan turut melaksanakan program rintis ‘Jom Pandai Berenang’, sebagai usaha memperkasakan kemahiran asas renang di kalangan pelajar sekolah.
JBPM menyasarkan seramai 50,000 pelajar menyertai program asas renang ini dalam tempoh lima tahun bermula 2026 hingga 2030, sebagai langkah jangka panjang membina budaya keselamatan air dalam kalangan generasi muda.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            