SelangorToday

17 PROJEK ATASI BANJIR DI KLANG SEGERA DILAKSANAKAN

Sebanyak RM3.35 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan 17 projek mitigasi banjir di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) sebagai langkah segera mengatasi masalah banjir yang sering melanda beberapa kawasan utama di daerah ini.

EXCO Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Dato’ Ir Izham Hashim berkata, kerja-kerja penambahbaikan tersebut akan bermula seawal minggu ini dan dijangka siap sepenuhnya pada Oktober tahun ini.

Antara kerja-kerja yang akan dilaksanakan termasuk pemasangan paip culvert, pelebaran parit dan longkang, serta naik taraf jambatan di kawasan terjejas.

“Kita kenal pasti 13 kawasan panas di seluruh Klang yang sering dinaiki air sekiranya berlaku hujan lebat, antaranya di Meru dan Pandamaran. Berikutan itu, kita akan laksanakan 17 projek sebagai langkah segera untuk atasi masalah banjir,” katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kemajuan Infrastruktur bagi kawasan seliaan MBDK, yang turut dihadiri Datuk Bandar Klang, Dato’ Abd Hamid Hussain.

Izham turut menjelaskan bahawa projek ini juga merangkumi kawasan kampung yang pembangunan asalnya tidak terancang, termasuk yang tidak mempunyai sistem aliran air atau hanya memiliki parit kecil.

“Langkah drastik turut akan diambil termasuk pembelian tanah bagi membolehkan aliran air yang lebih baik dan mengelakkan kejadian banjir berulang. Kita mahu pastikan kawasan terlibat dilindungi sebaik mungkin,” katanya.

Projek-projek ini akan diselaraskan dengan kerjasama beberapa agensi berkaitan termasuk MBDK, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), serta Jabatan Kerja Raya (JKR).

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa jumlah keseluruhan dana yang diperuntukkan bagi projek mitigasi banjir di kawasan pentadbiran Klang adalah sebanyak RM47.55 juta, yang dikendalikan oleh JPS negeri.

Daripada jumlah tersebut:

“Langkah segera ini diambil bagi meminimumkan risiko kejadian banjir yang berulang dan memberi kesan kepada kehidupan rakyat. Projek jangka panjang yang melibatkan kerajaan persekutuan tetap diteruskan, namun ia memerlukan tempoh sehingga lima tahun,” jelasnya.

Menurut Izham, cabaran utama dalam pelaksanaan projek ini adalah berkaitan pengambilan tanah serta gangguan utiliti seperti kabel dan paip air, terutama di kawasan padat seperti Meru.

“Kewangan bukan halangan, tetapi halangan teknikal seperti kabel dan utiliti yang banyak memerlukan penyelarasan teliti. Kita akan pastikan semua projek ini dapat dilaksanakan mengikut jadual,” tambahnya.

Exit mobile version