SelangorToday

2 SEPTEMBER 98, TITIK TOLAK PERUBAHAN POLITIK MALAYSIA

Setiap tahun tarikh 2 September akan menemui seluruh rakyat di muka bumi, baik di Malaysia atau di luar negara. Namun di Malaysia, 2 September akan dikenang sebagai satu tarikh yang berlakunya peristiwa hitam dalam politik Malaysia.

Pada tahun 1998 tarikh itu, jam 5.30 petang, Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim telah dilucutkan segala jawatannya dalam kerajaan. Pengumuman yang dibuat serentak di seluruh negara melalui media arus perdana menjadi kemuncak kepada khabar angin sebelum itu yang menampakkan ketidakserasian lagi diantara Anwar dan Perdana Menteri, Mahathir Mohamad.

Khabar-khabar angin berbentuk teori politik, buku politik dan gelagat kepimpinan negara tentang perkalihan mereka ternokhtah pada tarikh tersebut. Gandingan yang dianggap terbaik serta persetujuan secara umum yang Anwar bakal menjadi pengganti Mahathir berubah keseluruhannya apabila mereka berdua menjadi gergasi politik yang bertempur dalam arena politik negara. Secara tidak langsung sebenarnya peristiwa tersebut telah memulakan perubahan politik Malaysia secara mendadak sehingga hari ini.

Sedarkah kita bahawa, pemecatan Anwar baik dalam kerajaan mahupun UMNO telah merubah corak politik negara dan ia masih dihidu, dirasa dan diamati sehingga hari ini. Bagi penulis ada beberapa faktor yang mendorong peristiwa itu memberi kesan kepada politik Malaysia.

Pertamanya, Anwar Ibrahim itu sendiri telah menjadi faktor dominan yang menggegarkan politik negara. Mahathir menyedari akan hakikat sama ada memecat Anwar ketika ini atau kemudiannya, tetap akan memberi impak kepada kepimpinan Mahathir. Hal ini demikian kerana, Anwar berjaya mengukuhkan penguasaannya dalam politik serta negara sejak tahun 1987 lagi.

Apabila telah berjaya diberi peranan sebagai Naib Presiden UMNO serta Menteri Pendidikan, cita-cita Anwar untuk menduduki kerusi yang diisi oleh Mahathir semakin membara. Beberapa langkah diambil bagi memastikan beliau akan sampai kepada sasaran yang telah beliau idamkan. Baik mengenepikan semua figura yang dirasakan mampu mengancam kedudukan beliau dalam UMNO seperti Sanusi Junid, Abdullah Ahmad Badawi, Syed Hamid Albar dan Yusof Noor mahupun meletakkan proksi-proksi beliau dalam setiap platform media perdana, Anwar telah pun menjadi dominan dalam Malaysia.

Pendakian Anwar dalam kepimpinan UMNO memaparkan kehebatan Anwar dalam mencatur strategi politik. Oleh itu, Mahathir terpaksa melakukan pemecatan tersebut pada 2 September 1998 sebelum Anwar terus mencengkam pengaruhnya.

Kesan pemecatan bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia(ABIM) itu  perlu dibayar oleh Mahathir dengan Malaysia dipandang buruk dan rendah di mata dunia. Mahathir yang digelar bapa pemodenan setelah membawa satu dimensi baharu di Malaysia lebur dengan kepimpinan diktatornya mengekang kebangkitan Anwar dan penyokongnya.

Tidak sampai 20 tahun Anwar di dalam kerajaan dan UMNO, beliau telah memaknai kepimpinannya untuk rakyat jelata. Baik menghapuskan korupsi, membina rumah PPRT dan membasmi kemiskinan di Malaysia, rakyat mula menyayanginya dan telah pun memasakkan dalam minda mereka bahawa selepas Mahathir, Anwarlah pemimpin mereka. Secara tiba-tiba, Anwar dipecat, mudahnya Anwar mencetuskan gelombang rakyat untuk membantah tindakan Mahathir serta mendesak Mahathir diturunkan. Kewibawaannya menggerakkan rakyat untuk bersolidariti bersamanya setiap minggu sehingga masuk ke era abad 21.

Faktor kedua, peranan yang dimainkan oleh Presiden PAS ketika itu, Hj Fadzil Mohd Noor atau Ustaz Fadzil mengerakkan gelombang rakyat menjadi pemangkin kepada kesedaran umum menolak kerajaan UMNO-BN ketika itu. Ketika Anwar dalam kerajaan, Ustaz Fadzil merupakan pembangkang. Namun Ustaz Fadzil lebih jelas berseteru atau bertempur dengan Mahathir berbanding Anwar. Atas kecerdikannya melihat pengaruh Anwar boleh diadaptasikan kepada politik negara, Ustaz Fadzil bersedia mengetuai gelombang rakyat.

Walau awalnya beberapa pimpinan mahupun penyokong tidak melihat tindakan Ustaz Fadzil akan memberi kesan baik kepada PAS dan politik negara, Ustaz Fadzil yakin untuk meneruskannya. Akhirnya pandangan jauh Ustaz Fadzil telah menepis persepsi umum bahawa Ustaz Fadzil hanya mahu membela kawannya sahaja iaitu Anwar Ibrahim apabila PAS mendominasi penguasaan kerusi pembangkang ketika itu dan Hj Abdul Hadi Awang sendiri dipilih mengetuai Kerajaan Negeri Terengganu.

Bagi penulis, atas pandangan jauh Ustaz Fadzil menggembleng gelombang rakyat bersulam kesepakatan pembangkang, corak politik anti-kerajaan khususnya kepada UMNO-BN bergerak kuat sehingga PRU 2008. Pasca 2008, Anwar pula menyambung momentum tersebut sehingga mendorong Mahathir menyebelahi mereka pada tahun 2018 dan BN tumbang. Cetusan itu bermula dangan kordinasi yang dibina Ustaz Fadzil selain Lim Kit Siang, Chandra Muzaffar dan Dr.Syed Hussin. Jika ketika itu Ustaz Fadzil terus memegang paksinya sebagai presiden parti pembangkang ia tidak wajar membeli bekas pimpinan kerajaan, mungkin politik Malaysia masih dicengkam kuat oleh UMNO-BN dan semangat anti-kerajaan gagal dipupuk semaksimanya.

Manakala sosok Anwar itu sendiri telah meletakkan kefahaman rakyat bahawa percaturan politik sejak 1998 sehingga 2022 adalah misi menobatkan Anwar sebagai Perdana Menteri. Setiap kali PRU tiba, sentimen memahkotakan Anwar sebagai PM merangsang sokongan orang awam kepada pembangkang kecuali pada tahun 2004. Meski tertangguh selama 24 tahun, akhirnya Anwar dipilih sebagai Perdana Menteri dan setelah Anwar bersara kelak, episod baru politik negara yang meninggalkan misi Anwar sebagai PM dibuka seluasnya.

Oleh demikian, mahkota dari ABIM seperti Anwar dan Ustaz Fadzil benar-benar mempengaruhi politik negara. Mereka bukan ahli politik biasa, sebaliknya dalam episod 2 September 1998, mereka adalah pemangkin perubahan politik negara yang kita alami hari ini.

Exit mobile version