Ahli Dewan Negara, Dr.Mujahid Yusof Rawa menggesa kerajaan MADANI untuk melaksanakan Akta Pendanaan Politik memandangkan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim telah mencapai tempoh dua tahun.
Kata Dr.Mujahid, pelaksanaan undang-undang tersebut mampu meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan MADANI. Ketika ini, ramai ahli politik yang jujur dan ikhlas tanpa sebarang salah laku kewangan yang ingin berkhidmat dalam politik, namun atas dasar persepsi serta sebilangan ahli politik yang mencemar imej mereka melalui salah guna kewangan menyebabkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan terhakis.
Tambah Timbalan Presiden AMANAH itu, berbagai-bagai model akta pendanaan politik ini boleh digunakan. Dalam masa yang sama had perbelanjaan pilihan raya bagi setiap parti politik turut dikaji semula dengan menetapkan had tersebut pada kadar yang wajar mengikut keadaan terkini.
Beliau berkata demikian ketika berbahas dalam Dewan Negara berkaitan Belanjawan 2025 peringkat dasar turut mengulas prestasi kerajaan MADANI. Katanya, kerajaan berjaya membawa perkembangan ekonomi dan kesejahteraan rakyat ke landasan yang tepat dan berpatutan, justeru tiba masanya kerajaan melaksanakan reformasi melibatkan ahli politik dan pilihan raya untuk melengkapkan reformasi negara.
Disamping itu, Dr.Mujahid juga menggesa kerajaa menguatkuasakan pengasingan kuasa antara peguam negara dan pendakwa raya. Kerajaan digesa mengumpulkan tenaga pakar untuk merungkai isu ini demi melaksanakannya.
Beliau menggesa usaha ini dilaksanakan sekarang bagi memastikan keadilan sentiasa tertegak di Malaysia. -SelangorToday