SelangorToday

200 PENGUSAHA INAP DESA TERLIBAT ‘FESTIVAL PELANCONGAN ISLAM’

Lebih 200 pengusaha inap desa terlibat dalam ‘Festival Pelancongan Islam Homestay Antarabangsa 2023’.

Selain Malaysia, 15 negara turut terlibat termasuklah Indonesia, Pakistan dan India.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Khairul Firdaus Akhbar Khan berkata festival ini merupakan titik permulaan serta salah satu usaha berkonsepkan pelancongan dan hospitaliti mesra rakyat.

“Ianya satu program yang memberikan kesedaran terhadap pelancong-pelancong di luar sana berkenaan keindahan seni dan budaya masyarakat kita. Ianya dipelopori oleh ITC (Islamic Tourism Centre) dan kita dapat lihat banyak perkembangan yang amat positif dalam kalangan pengiat industri, bukan setakat negara kita, tapi di luar sana juga’, katanya.

Bagi merealisasi konsep berkenaan juga, Pakej Platinum: Pakej Pelancongan Mesra Muslim turut dilancarkan.

Pakej tersebut dijangka menarik lebih ramai pelancong Muslim ke Malaysia khususnya dari Asia Barat dan China yang mempunyai demografi penduduk Islam yang besar.

‘Festival Pelancongan Islam Homestay Antarabangsa 2023’ berlangsung selama empat hari sehingga 19 Disember 2023 di Masjid Muadz Jabal, Setiawangsa, Kuala Lumpur, manakala di Temerloh, Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Kampung Ketam dan Inap Desa, Desa Murni.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Festival Pelancongan Islam Homestay Antarabangsa 2023 dan melancarkan Pakej Platinum: Pakej Pelancongan Mesra Muslim di Kuala Lumpur. – Berita RTM

Exit mobile version