Ketua AWAN Selangor, Puan Rawiyiah Zakaria dalam mengulas harapan tahun barunya dari konteks politik mengharapkan, rakyat bersedia melakukan anjakan paradigma dengan melihat bahawa kuasa menentukan kepimpinan negara adalah di tangan rakyat itu sendiri. Berharap pada tahun ini, rakyat mampu menilai setiap inci keadilan dan nilai integriti sebagai asas penting memilih pemimpin mereka.
Tambah beliau, golongan agamawan dan intelektual perlu digerakkan untuk mendidik masyarakat secara tidak berparti agar rakyat mampu mendapat maklumat yang cukup, menilai bersandarkan ilmu serta membuat keputusan mengikut hak yang perlu.
Mengimbau kenangan 2021, Ahli Lembaga Wanita Berdaya Selangor Sdn. Bhd itu menegaskan, akibat kejelekan berpolitik serta amalan rasuah yang tidak terbatas menyebabkan rakyat muak dan jemu dengan politik negara. Natijahnya mereka tidak mempercayai lagi orang politik. Kesan besarnya, pemimpin korup dan pemanipulasi akan terus memerintah negara ini tanpa ada sebarang cabaran dari rakyat.
Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Kajang itu berharap segala kepayahan, dugaan dan cabaran yang dihadapi pada tahun 2021 lalu, akan diganjarkan kemudahan, kekuatan dan kemenangan buat AMANAH pada tahun 2022 ini.