SelangorToday

21 Pusat Jagaan Terima Geran: Selangor Perkasa Ekonomi Penjagaan

SHAH ALAM, 20 November – Kerajaan Negeri Selangor terus memperkukuh ekosistem penjagaan melalui penyampaian Geran Pusat Jagaan (GPJ) kepada 21 pusat jagaan melibatkan warga emas, kanak-kanak dan orang kurang upaya (OKU), selaras dengan usaha memacu pembangunan sektor ekonomi penjagaan negeri.

Menurut kenyataan media oleh EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari, sejumlah RM400,000 telah diperuntukkan bagi pelaksanaan GPJ tahun ini, dengan setiap penerima layak menerima sehingga RM5,000. Geran tersebut bertujuan membantu pengusaha menampung kos pematuhan dan proses pendaftaran teknikal bagi memastikan operasi pusat jagaan dijalankan secara sah dan selamat.

Beliau berkata, langkah ini penting bagi memastikan lebih banyak pusat jagaan berdaftar dapat beroperasi secara teratur, sekali gus meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap perkhidmatan yang ditawarkan.

“Pemberian geran ini bukan sahaja membantu pusat jagaan memenuhi syarat pendaftaran, tetapi juga mendukung agenda Dasar Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor (DEPNS) 2024-2030, yang memberi tumpuan kepada pengukuhan industri penjagaan,” kata Anfaal dalam kenyataan itu.

Permohonan bagi Geran Pusat Jagaan masih dibuka dan boleh dibuat melalui laman sesawang gpj.selangkah.my. Antara syarat permohonan ialah pengusaha perlu berdaftar dengan SSM atau ROS sekurang-kurangnya enam bulan sebelum permohonan, beroperasi dalam Negeri Selangor serta mengemukakan bukti komitmen untuk mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Inisiatif ini dijangka memperluas penglibatan pengusaha pusat jagaan dalam ekosistem penjagaan formal dan membantu menyediakan perkhidmatan yang lebih berkualiti kepada rakyat Selangor.

Exit mobile version