SelangorToday

24 RIBU CICIR DUDUKI SPM : KPM GAGAL URUS PENDIDIKAN SEMASA PANDEMIK

Kementerian Pendidikan Malaysia gagal mengurus sistem pendidikan semasa pandemik menyebabkan jumlah calon SPM yang cicir membimbangkan. Sambil berhujah, Naib Ketua Pemuda AMANAH Selangor, Nabil Norhalim menyatakan bahawa calon SPM yang mendapat keputusan minggu lalu merupakan mereka yang terpaksa belajar dengan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selama tempoh 2 tahun. Ini bermaksud, sejak mula mereka memulakan pengajian tingkatan 4 sehinggalah menduduki peperiksaan SPM, hampir 70% kaedah yang digunakan dalam pengajian mereka menggunakan kaedah PdPR. Hal ini disebabkan oleh Pandemik Covid-19 yang melanda negara pada Februari 2022, memaksa kerajaan pimpinan Tan Sri Mahiaddin Md Yassin menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Nabil Norhalim, Naib Ketua Pemuda AMANAH Selangor

Tambah Ketua Pemuda AMANAH Kota Raja itu, kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya menyalahkan keadaan pandemik yang melanda negara, sebaliknya mencari jalan untuk merombak sistem pendidikan yang lebih mesra pandemik. Mendukacitakan apabila jumlah calon SPM yang mendaftar sebagai calon, namun gagal mendudukinya hampir 24 ribu orang calon. Maka KPM perlu bertanggungjawab dan menilai semula keadaan yang ada.  

Melalui satu kenyataan, Nabil tetap memberikan sekalung tahniah dan penghargaan kepada calon-calon SPM yang memperoleh keputusan minggu lalu. Meski calon-calon tersebut sebelum ini menjalani pengajian dengan keadaan yang serba celaru akibat kejatuhan kerajaan PH, namun mereka tetap mampu melakukan yang terbaik. Nabil menyeru agar semua pihak diberikan peluang untuk mendapat pendidikan yang sama di negara ini.

Exit mobile version