Ahli Parlimen Shah Alam, Hj Azli Yusof selaku wakil rakyat di kawasan Shah Alam meliputi kawasan Bukit Jelutong telah menyertai 3 kali sesi libat urus bersama penduduk dan pemaju tanah Padang Golf Bukit Jelutong setelah ada bantahan oleh penduduk Bukit Jelutong apabila ajwasan tersebut bakal dimajukan sebagai kawasan perumahan. Semalam, Hj Azli diiringi Persatuan Penduduk Taman Bukit Jelutong(BJRA) telah sekali lagi turun melihat kawasan Padang Golf 18 lubang itu yang bakal dibangunkan menjadi kawasan Perumahan berkepadatan rendah meliputi 425 unit rumah jenis teres, semi-D dan bungalow.
Ketika sidang media yang diadakan, Hj Azli berkata kawasan ini mendapat bantahan penduduk sekitar kerana kawasan ini telah dijadikan kawasan riadah bagi penduduk disini. Malah kawasan ini merupakan kawasan kehijauan yang penuh dengan flora dan fauna yang wajib dipelihara sebagai paru-paru hijau(green lung) Bukit Jelutong. Kawasan Padang Golf Bukit Jelutong yang terbentang seluas 69 ekar itu diilhamkan oleh Pemaju Guthrie Berhad. Sidang media itu turut disertai oleh Puan Zarina Ismail, selaku Pengerusi BJRA.
Hj Azli yang juga Timbalan Pengerusi AMANAH Selangor berkata, sesi libat urus yang beliau sertai bagi membawa suara penduduk telah dijalankan di TownHall Talk 30 September lalu, sesi penyelarasan bantahan antara BJRA, MBSA serta ADN Kota Anggerik, Najwan Halimi dan akhir sekali bertemu Dato Menteri Besar Selangor bagi menyuarakan bantahan ini. Maka proses rundingan sedang berjalan dan Hj Azli mengharapkan penduduk memberikan ruang kepada Dato Menteri Besar membuat keputusan yang terbaik. – SelangorToday