Semua 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor terlibat dalam penilaian semula kadar cukai taksiran baharu yang dijangka dapat dilaksanakan selewatnya-lewatnya tahun hadapan.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Ng Suee Lim berkata, tiada PBT terkecuali melakukan penilaian taksiran, namun ia mestilah berasas dan menepati situasi semasa.
Menurut beliau, berdasarkan semakan mendapati semua PBT di negeri ini tidak membuat semakan cukai taksiran sejak 30 tahun lalu.
“Maka keputusan (semakan cukai taksiran) terpaksa dibuat dan tiada PBT terkecuali,” katanya.
Suee Lim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan memberitahu, beberapa PBT telah mula membuat nilaian baharu antaranya Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).
“Selepas ini beberapa PBT lain juga menyusul antaranya MBSA (Majlis Bandaraya Shah Alam), MBPJ (Majlis Bandaraya Petaling Jaya) dan PBT lain,” katanya.
Jelas beliau, penilaian semakan semula itu bukan bertujuan membebankan rakyat, sebaliknya berdasarkan kepada keperluan bagi membolehkan semua PBT meningkatkan hasil pendapatan dan seterusnya memberikan perkhidmatan lebih berkualiti.
“Setiap PBT di Selangor berusaha untuk memberikan kemudahan infrastruktur lebih baik seperti penyelenggaraan longkang, parit dan lampu jalan, dewan orang ramai serta dari segi kutipan sisa pepejal lebih bersih,” jelas beliau.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri juga memberi kelonggaran kepada mereka yang tidak berkemampuan dan memenuhi syarat terutama bagi mereka yang menetap di rumah kos rendah.
“Di bawah syarat-syarat tertentu, mereka juga ada syarat-syarat pengecualian, namun bagi pegangan biasa dan sebagainya kita harus terima hakikat ini.
“Bantulah kerajaan negeri dan PBT dengan bersama-sama kita bertanggungjawab menjadi pembayar cukai taksiran,” ujarnya. – Sinar Harian