SelangorToday

4 Paksi AMANAH Teraju Kebangkitan Politik Islam

{"remix_data":[],"remix_entry_point":"challenges","source_tags":[],"origin":"unknown","total_draw_time":0,"total_draw_actions":0,"layers_used":0,"brushes_used":0,"photos_added":0,"total_editor_actions":{},"tools_used":{"effects":1},"is_sticker":false,"edited_since_last_sticker_save":true,"containsFTESticker":false}

Melalui zaman-zaman yang berliku, politik Islam mempunyai pasang surutnya. Terserlah apabila politik Islam mengalami fasa dingin atau surut, umat Islam menerima tempias yang mendukacitakan. Bagaimanapun perjuangan untuk membangkitkan semula kegemilangan politik Islam wujud melalui dua dimensi atas dua pemikiran dan dua pendekatan. Generasi pertama gerakan Islam lebih bersifat konservatif dan mengikat keseluruhan asas politik islam. Manakala generasi kedua gerakan Islam mula melihat asas atau keperluan utama yang harus didahului dalam perjuangan mereka sambil menerima konsep negara bangsa yang ditinggalkan oleh penjajah.

AMANAH sebuah parti yang lahir sedekad lalu memilih konsep generasi kedua yang dipelopori oleh Hassan Al-Banna dan Syeihk Yusof Al-Qardawi untuk mengangkat nilai Islam di Malaysia memadangkan Malaysia telah pun mempunyai perlembagaan yang dibentuk sejak pra-merdeka dahulu. AMANAH sebagai sebuah parti Islam yang progresif dari sudut pendekatan dan strateginya meyakini bahawa matlamat utama syariat Islam itu ditetapkan mampu dicapai melalui konsep yang dipegang. Empat paksi yang ada pada AMANAH mampu menjadi pemangkin kepada usaha AMANAH menerajui kebangkitan politik Islam semula di Malaysia .

Gagasan Islam Rahmatan Lil Alamin

Jelas sekali AMANAH mempunyai perbezaan yang ketara dalam pendekatan memperjuangkan Islam berbanding PAS. Walau diperlekehkan bahawa AMANAH sebenarnya tidak memperjuangkan Islam, pun begitu AMANAH sentiasa kekal dengan mesej membawa Islam sebagai rahmat buat seluruh alam. AMANAH mengangkat wajah Islam yang sebenarnya buat semua makhkluk di muka bumi.

“Tiada Kami utuskan dikau(wahai Muhammad) melainkan (hanya) untuk membawa Rahmat kepada sekalian alam”(al-Anbyia’:107).

Mengambil ibrah atas sosok Nabi Muhammad dan sirah Nabi sebagai utusan Allah kepada seluruh alam, AMANAH sehabis baik memperlihatkan Islam yang sedang diperjuangkan bukan semata-mata untuk menjadi tembok pemisah antara yang Islam dan bukan Islam, yang lemah dengan yang kuat, yang kaya dengan yang miskin, dan yang menyulitkan dengan yang memudahkan, tetapi lebih daripada itu Islam itu sebenarnya merangkumi semua sudut, semua pihak, semua asas berasa selamat, selesa dan sejahtera dibawah Islam.

Dalam konteks Malaysia(seharusnya menjadi pertimbangan utama umat Islam di Malaysia), gagasan yang AMANAH bawa tidak bercanggah dengan keadaan yang telah sedia wujud di Malaysia ini. Kedudukan umat Islam yang pelbagai mengikut geografi, demografi dan kelas ekonomi menuntut AMANAH menterjemahkan gagasannya agar tiada langsung umat Islam yang terpinggir. Nilai keterangkuman yang ada dalam gagasan perjuangan AMANAH akan mengikat kepedulian AMANAH buat semua pihak. Maka umat Islam yang diangkat itu melibatkan semua kelompok dan semua aspek.

Politik Rahmah

Baik dalam parti politik mahupun sebagai ahli pentadbiran kerajaan, AMANAH tidak akan meninggalkan politik Rahmah sebagai asas mereka berurusan. Rahmah yang dirujuk sebagai kasih sayang memandu AMANAH beraksi dalam arus politik yang mencabar mahupun pentadbiran negara yang sulit.

“Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, karena itu damaikanlah antara kedua saudaramu (yang berselisih) dan bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat” (al-Hujurat:10).

Menyedari konsep sebenar berpolitik adalah hanya salah satu medan berstrategi yang paling banyak perbezaan pendapat, maka AMANAH mempelopori politik Rahmah agar memastikan jika wujud kesulitan dan permasalahan, ia mampu diselesaikan secara berimpak. Pendekatan berdialog dan mewujudkan kerjasama terbuka apabila berlakunya perbezaan pendapat akan memudahkan proses dakwah berjalan dan matlamat sesuatu perkara itu dicapai dalam jangka masa panjang.

Dalam pentadbiran, aspek Rahmah menjadi kejiwaan utama pemimpin yang mewakili AMANAH bagi membentuk pelbagai dasar pentadbiran, inisiatif dan tekad mereka. AMANAH menjadikan sikap kasih sayang sebagai asas membantu membangunkan rakyatnya baik Islam mahupun bukan Islam. Bekasih sayang dituntut dalam setiap tindakan umat Islam justeru pendekatan hikmah, amanah, muafakat, adil dan hormat yang terpaut dalam akronim RAHMAH menjadi nilai yang dibawa oleh parti AMANAH dalam setiap langkah politik dan pentadbiran.

Berbeza dengan pendekatan berjalur keras dan memaparkan wajah Islam yang longgar sehingga mencairkan makna Islam apabila tinggal nama sahaja tanpa ruh sebenar syariat yang diangkat, AMANAH memilih pendekatan yang lebih tenang dan harmoni seperti politik Rahmah ini agar mesej, matlamat dan tuntutan Islam itu benar-benar tercapai mengikut kehendak yang sepatutnya.

Kepimpinan Kolektif & Segar

Beza antara AMANAH dan parti-parti politik lain termasuk beberapa gerakan Islam yang pernah melatari sejarah dunia, AMANAH tidak berpaut kepada seorang batang tubuh sahaja dalam membawa asas perjuangan. Mugkin mengangkat seorag tokoh  sebagai asas perjuangan mempuyai pro dan kontranya. Tetapi sebagai sebuah parti Islam yang progresif, AMANAH mengelak dari membuka ruang kepada amalan fanatik dan wala’ (taat) membabi buta bertebaran dalam parti. Amalan kepimpinan yang kolektif dan bersepadu mampu menelurkan sebuah keputusan dan halatuju yang berimbang baik dan buruknya. Dalam pada itu konsep yang dipegang oleh AMANAH dengan meletakkan sebilagan pakar-pakar pelbagai bidang dalam Majlis Penasihat Pakar membolehkan AMANAH mempunyai kepimpinan yang lengkap dan serba boleh.

“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.” (al-maidah:2)

AMANAH juga tidak miskin dengan wajah-wajah kepimpinan muda yang segar dalam beraksi di pentas politik Malaysia. Dalam jemaah Islam, proses memberi laluan kepada muka baharu akan berlaku apabila tokoh senior mengundurkan diri ataupun meninggal dunia. Sebaliknya AMANAH membuka ruang seluasnya kepada wajah segar dalam parti bagi mengisi perana dan tanggungjawab sebagai pemimpin tanpa sebarang syarat mahupun tempoh masa. Baik Faiz Fadzil, Sany Hamzan, Suhaizan Kayat, Hj Azli Yusof, Abbas Azmi, Anfaal Saari, Hasbie Muda, Nazri Abd Rahman, Fadzli Mohd Ramly, Faridah Samad mahupun ahli parti lain yang berada diakar umbi, mereka adalah wajah-wajah segar yang ditonjolkan oleh AMANAH bagi memastikan perjuangan AMANAH sentiasa berada dalam nafas yang segar dan mengikut arus zamannya tersendiri. Ia pemangkin kepada usaha AMANAH membela keberadaan umat Islam mengikut rentak zaman masing-masing.

Duta Umat – kebajikan dan pendidikan

Justeru pelayaran yang paling penting dan mencabar bagi AMANAH apabila perlu meneruskan peranan dan tanggungjawabnya sebagai wakil atau suara kepada rakyat baik ketika menjadi pembangkang mahupun sebagai kerajaan. Terbukti bahawa pimpinan AMANAH menjadi pembela bukan sekadar buat umat Islam dan rakyat awam di Malaysia, malah menjadi suara kepada kebangkitan rakyat untuk meredakan setiap peperangan yang berlaku di Iraq, Syiria ataupun lebih utama Palestin semasa di dalam PAS dahulu. Kini AMANAH akan membawa imej dan peranan itu terus menyala dihadapan masyarakat memandangkan rakyat hari ini mendambakan sebuah parti politik yang benar-benar tulus ikhlas membela rakyat tanpa sebarang permainan politik yang mempersulitkan rakyat.

“Wahai orang yang berselimut! Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia). Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaranNya!” (al-mudathttir:1-3)

AMANAH bergerak dilapangan dalam aktiviti berkebajikannya membantu rakyat yang memerlukan. Nadi AMANAH adalah menyantuni rakyat sambil membawa suara rakyat di pentas pembuatan dasar. Oleh itu, AMANAH menjadi tonggak kepada duta umat dalam memastikan rakyat ditarik keluar dari lubang kefakiran. AMANAH juga melalui Biro Syariah, menjadi pencerah kepada sentiasa isu atau pertikaian yang bersangkut paut dengan agama. Pertikaian dalam isu agama hanya menyekar perkembangan umat Islam, maka AMANAH bertanggungjawab meleraikan kesulitan itu agar umat manusia mampu berkembang dan bangkit sebagai sebuah tamadun yang agung.

Biro Pendidikan & Perubahan Masyarakat AMANAH juga tidak tertinggal dalam menjadi duta umat kepada soal hari ini dan masa depan. AMANAH rancak membina masyarakat madani yang berilmu dan berakhlak melalui corak pendidikan yang dibentuk oleh kerajaan MADANI. Lantas AMANAH juga turut kelapangan memberi pencerahan kepada rakyat akan peluang yang boleh dimanfaatkan oleh rakyat baik aspek ekonomi, bakat dan kemahiran agar kedudukan dan masa depan mereka dibentuk lebih baik dan sejahtera.

Kesimpulan

Apa yang boleh dilihat bahawa empat paksi AMANAH ini mampu menjadi pemangkin kepada AMANAH sebagai peneraju kepada kebangkitan semula politik Islam yang rasional, dipuncak massa dan bersifat nasional. Perjalanan AMANAH untuk dekad-dekad yang datang bergantung kepada ramuan dan paksi yang AMANAH ada melalui tenaga-tenaga muda dan segar dalam AMANAH untuk memperjuangkannya. AMANAH yang jelas dengan tanggungjawab akan memperlihatkan citra politik Islam yang indah, sempurna dan terangkum dalam konteks negara bangsa. Yakinnya bahawa AMANAH tidak akan melihat DAP sebagai ancaman atau halangan untuk memperjuangkan Islam kerana pimpinan AMANAH memahami akan keperluan berdasarkan fiqh aulawiyat dan fiqh keutamaan seperti mana yang dibawa ketika kepimpinan Ustaz Fadzil Noor dan Tok Guru Nik Aziz dalam PAS.

Cikgu Syazmir HN

Exit mobile version