 
                KUALA LUMPUR, 5 Okt – Kira-kira 4,000 ahli dan penyokong Parti Amanah Negara (AMANAH) dari seluruh negara membanjiri Stadium Titiwangsa malam tadi sempena Himpunan Satu Dekad AMANAH, yang meraikan ulang tahun ke-10 penubuhan parti Islam progresif itu.
Pengarah Program, Abbas Azmi, dalam ucapannya menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan perhimpunan bersejarah tersebut, yang disifatkannya sebagai bukti kekuatan dan ketahanan AMANAH dalam gelanggang politik tanah air.

“Alhamdulillah, hari ini kita bersama-sama merayakan 10 tahun parti Amanah Negara yang kita sayangi. Dahulu orang memperlekeh parti ini sebagai ‘parti nyamuk’ yang kononnya hanya mampu bertahan dua tahun. Hari ini kita buktikan mereka silap,” katanya disambut sorakan gemuruh para hadirin.
Menurut Abbas, kehadiran ribuan ahli dari pelbagai negeri menjadi isyarat jelas bahawa perjuangan AMANAH terus hidup dan semakin diterima rakyat.
“Kita bukan sekadar berkumpul, tetapi meraikan kesetiaan dan semangat perjuangan ahli-ahli dari seluruh negara. Saya dimaklumkan kehadiran malam ini mencecah 4,000 orang — ini adalah sejarah besar buat AMANAH,” katanya.

Himpunan yang diadakan bersempena sambutan 1 Dekad AMANAH itu turut dihadiri oleh pimpinan utama parti termasuk Presiden Datuk Seri Hj Mohamad Sabu, Timbalan Presiden Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa serta barisan pimpinan negeri dan sayap-sayap parti.
Acara malam itu turut diserikan dengan tayangan video khas menyingkap perjalanan perjuangan AMANAH sejak penubuhannya pada tahun 2015, selain persembahan dan ucapan penghargaan daripada para pemimpin.

Abbas menutup ucapannya dengan menyeru seluruh ahli agar terus beristiqamah memperjuangkan politik rahmah dan nilai-nilai amanah dalam pentadbiran negara.
“Sepuluh tahun pertama telah membuktikan ketahanan kita. Mari kita melangkah ke dekad kedua dengan tekad dan keyakinan baharu untuk menjayakan perjuangan politik rahmah yang kita dukung,” ujarnya.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            