Seramai 419 individu berusia 25 hingga 34 tahun yang diisytihar muflis tahun ini. Antara faktor yang menyebabkan jumlah kes kebankrapan meningkatkan disebabkan hutang pinjaman peribadi, sewa beli perniagaan dan pinjaman perniagaan, yang gagal dilunaskan. Jelas Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, jumlah kes kebankrapan membabitkan golongan itu membimbangkan, apatah lagi ketika mereka baru memulakan hidup dan kerjaya pada usia terbabit.
Tambah Ahli Parlimen Segambut itu, jika 419 orang bankrap pada tahun ini tidak diberikan intervensi, ia akan menjadi beban kepada negara dan jumlah penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM) akan terus meningkat. Oleh demikian, kerajaan perlukan intervensi dan Parlimen mula mengorak langkah untuk mencari jalan bagaimana membantu golongan muda yang terlibat. Beliau ditemui ketika sidang media selepas majlis perasmian penutup Konvensyen Literasi Kewangan Belia Kebangsaan 2023 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam.
Turut menghadiri acara tersebut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Profesor Emeritus Datuk Dr Raduan Che Rose. Mengikut statistik, sebanyak 42.24 peratus (20,754) kes kebankrapan adalah disebabkan pinjaman peribadi, diikuti sewa beli kenderaan (14.39 peratus, 7,072 kes) dan pinjaman perniagaan (14.12 peratus, 6,936 kes). Selain itu, pinjaman perumahan (9.47 peratus, 4,653 kes), hutang kad kredit (8.01 peratus, 3,936 kes), keberhutangan lain (5.29 peratus, 2,599 kes), penjamin korporat (2.52 peratus, 1,238 kes) dan hutang cukai pendapatan (2.02 peratus, 994 kes). – SelangorToday