Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari mengemukakan lima titik tumpuan yang akan diberikan perhatian dalam Dasar Wanita Selangor dan Pelan Tindakan 2024-2026 yang baru dilancarkan Jumaat lalu. Dalam ucapan aluannya, Anfaal berkata lima titik tumpuan itu termasuklah pengarusperdanaan gender dalam pembangunan serta ekonomi dan kehidupan. Selain itu, kepimpinan dan perwakilan, kesejahteraan dan keselamatan serta kreativiti dan inovasi turut menjadi titik tumpuan dalam dasar tersebut. Maka Anfaal memberi jaminan untuk memastikan dasar ini berjaya, usaha memberdayakan wanita akan terus dijalankan.
Anfaal yang juga Timbalan Ketua Wanita AMANAH Nasional turut mengemukakan beberapa laporan termasuk Laporan Pembangunan Manusia 2021/2022, Laporan United Nations Development Programme 2023 dan Laporan Global Index Inequaliti yang menyimpulkan bahawa ketaksamaan gender masih wujud di Malaysia. Selaras dengan itu pelbagai usaha dibawah portfolio beliau akan diusahakan memandangkan turut juga berbangkit perihal peranan kerajaan negeri dalam memastikan kesaksamaan gender dapat direalisasikan.
Ahli Dewan Negeri(ADN) Taman Templer itu juga berkongsi usaha yang telah dijalankan di peringkat Negeri Selangor dalam memastikan kelestarian usaha pemberdayaan wanita. Ini termasuklah penubuhan Pusat Wanita Berdaya(PWB) yang pada tahun 2009. PWB yang berperanan menggalalkan wanita di peringkat komuniti untuk bergiat aktif selain menjana pendapatan itu mempunyai dua modul latihan iaitu pembangunan kapasiti dan modul kemahiran.
Turut ditubuhkan sebagai kesinambungan PWB adalah Wanita Berdaya Selangor(WBS). Anfaal menegaskan bahawa usaha mengangkat kedudukan wanita ini memerlukan kerjasama dengan semua pihak. – SelangorToday