Sebanyak 69.7 peratus atau tujuh daripada setiap 10 wanita di Selangor menyertai sektor pekerjaan, berdasarkan rekod Jabatan Perangkaan Malaysia.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata perkara itu dipengaruhi keperluan kepakaran serta bakat, di samping faktor tekanan ekonomi yang memerlukan kedua-dua suami dan isteri bekerja.
Katanya, majoriti wanita di negeri ini bekerja di bahagian sumber manusia, pembuatan serta perkhidmatan.
Beliau memaklumkan, penyertaan wanita dalam sektor-sektor kritikal seperti kejuruteraan dan kepimpinan bagaimanapun masih berada pada tahap rendah.
“Kita sudah melepasi 69 peratus, sekali gus menjadi petanda bahawa ia bukan lagi satu dogma atau tabu untuk wanita menyertai sektor pekerjaan.
“Cuma sekarang, kita perlu mempertingkatkan dalam sektor tertentu, dari segi layanan kepada wanita di tempat kerja dan sebagainya,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Jelajah Wanita MyWira 2025, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau bersama Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, menyaksikan pemeteraian perjanjian persefahaman (MoU) antara TalentCorp dengan Wanita Berdaya Selangor (WBS).
Mengulas kerjasama itu pula, Amirudin berkata, kerajaan negeri bersama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan melaksanakan Jelajah Wanita MyWira 2025 di kesemua 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula April hingga November depan.
“Tujuannya ialah untuk memberi kemahiran, peluang pekerjaan serta sokongan pengintegrasian wanita dalam tenaga kerja, selain memfokus kepada bengkel latihan kemahiran, insentif tenaga kerja, kebolehpasaran pekerjaan dan menyediakan peluang penempatan pekerjaan,” katanya.
Sementara itu, Steven menjelaskan melalui program terbabit, pihaknya akan mendekati wanita berusia 20 hingga 44 tahun dalam usaha mencapai sasaran 1.4 juta golongan berkenaan menyertai sektor pekerjaan.
“Ia termasuk program jelajah, latihan dan bengkel. Kita akan keluar dan memperluaskan lagi capaian kita,” katanya. -Berita Harian