SelangorToday

8 JUTA PELANCONG, SELANGOR SASAR SEMPENA TMS 2025

Kerajaan Selangor menyasarkan lapan juta pelancong tempatan dan luar negara melawat negeri itu sempena Tahun Melawat Selangor (TMS) 2025.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Ng Suee Lim, berkata TMS 2025 bakal dimeriahkan lagi dengan pelbagai acara dan program menarik, dengan lebih 100 acara diadakan di setiap daerah di negeri itu.

“Dengan sokongan penuh daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta, Selangor mampu mencorakkan industri pelancongan di Malaysia.

“Ia sekali gus dapat mencapai sasaran kemasukan pelancong pada tahun depan dengan resit perbelanjaan pelancongan mencecah RM11.7 bilion,” katanya berucap merasmikan Selangor Travel Fair (STF) 2024 dan Pra-Pelancaran Kempen TMS 2025 di sini.

Sementara itu, mengenai program berkenaan, Suee Lim berkata, Tourism Selangor mengadakan STF buat julung kalinya, yang berlangsung bermula semalam hingga esok di Sunway Pyramid.

Katanya, acara berkenaan diadakan bersempena TMS 2025, bagi mempamerkan kekayaan warisan budaya, pengalaman pelancongan dan tarikan terbaru kepada pelancong tempatan serta antarabangsa.

“Menerusi aplikasi ‘Journify’ oleh Malaysia Aviation Group (MAG) sebagai rakan kerjasama utama, acara ini akan menampilkan pelbagai tawaran pelancongan eksklusif berjumlah lebih RM200,000.

“Kerjasama berkenaan menyediakan platform untuk pelbagai tawaran pelancongan di Selangor dan peluang kerjasama bersama pemain industri serta orang awam,” katanya.

Beliau berkata, dengan sokongan Tourism Malaysia dan Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), acara berkenaan akan memberi impak besar kepada landskap pelancongan.

“Sempena STF, majlis pra-pelancaran TMS 2025 turut diadakan dengan pelancaran logo dan lagu tema kempen TMS 2025 oleh penyanyi dan penulis lagu, Aizat Amdan.

“Acara yang diadakan selama tiga hari ini berjaya menarik seramai 20,000 pengunjung dalam kalangan pemain industri pelancongan, pelancong dan orang awam,” katanya.

Katanya, Tourism Selangor juga membawa lebih 20 produk pelancongan pada acara berkenaan dengan pelbagai tawaran pelancongan eksklusif, diskaun dan pelbagai pakej produk pelancongan di Selangor, sesuai untuk semua pelancong.

“Pengunjung STF juga dipersembahkan dengan aktiviti interaktif seperti cabutan bertuah, bengkel dan persembahan tradisional.

“Produk pelancongan yang menyertai STF 2024 adalah SplashMania Waterpark, Skyline Luge, Jumpstreet Asia Malaysia, Farm in the City, Eastin Hotel dan banyak lagi,” katanya. -Berita Harian

Exit mobile version