(Berikut merupakan Perutusan Pengerusi AMANAH Negeri Selangor sempena ulang tahun penubuhan AMANAH ke-9)
9 tahun telah pun berlalu, usia Parti AMANAH Negara kurang satu tahun parti ini akan menjangkau ke usia satu dekad. Setiap tahun apabila tiba 16 September selain kita menyambut Hari Malaysia Parti AMANAH Negara juga menyambut hari kelahirannya.
Lahirnya parti AMANAH Negara ini disaat konflik politik terutama parti yang membawa wadah perjuangan bernuansakan Islam. Anjakan kepada perjuangan parti Islam ini dibawa oleh Parti AMANAH Negara mula menampakkan hasil. Bukan satu kerja mudah terutamanya di Negeri Selangor apabila AMANAH lahir ketika PAS masih di dalam kerajaan Negeri Selangor. Telah terbuku di dalam lipatan sejarah, dua orang Ahli Dewan NegeriĀ Selangor iaitu YB Saari Sungip dan YB Hasnul Baharuddin sanggup bersama AMANAH meskipun ketika itu pelbagai fitnah tohmahan dan cacian diberikan kepada AMANAH.
9 tahun berlalu, AMANAH Negeri Selangor terus melangkah maju. Kepimpinan disemua peringkat , ahli-ahli yang komited dan aktivis parti yang setia dengan perjuangan ini adalah formula AMANAH Negeri Selangor terus maju . Setiap dikalangan ahli tidak kira samada kepimpinan mahupun aktivis memainkan peranan yang besar dalam membina sebuah keluarga yang kukuh .
Namun badai dan ombak tidak jemu tiba. Ada sahaja ujian dan cabaran bersilih ganti. Atas keazaman dan kefahaman semua ahli berkenaan perjuangan Parti AMANAH Negara ini parti terus melangkah maju kehadapan. Inilah ramuan istimewa Parti AMANAH Negara Negeri Selangor sehingga ia dihormati kawan dan lawan walaupun usianya hanya 9 tahun.
Walau bagaimana pun, banyak lagi yang perlu di usahakan. Perjuangan ini bukan bersifat jangka masa pendek tetapi ia adalah sebuah perjalanan yang panjang dimana banyak lagi yang perlu AMANAH pelusuri.
Pertambahan keahlian dan Cawangan AMANAH perlu dipertingkatkan lagi agar lebih ramai rakyat di Negeri Selangor bersama dengan perjuangan Parti AMANAH Negara .
Modul kepimpinan dan ahli perlu terus di terapkan kepada semua lapisan kepimpinan dan ahli agar landasan perjuangan tidak tergelincir. Seharusnya kesemua ahli tidak kira kepimpinan atau aktivis atau ahli biasa memahami apa yang diperjuangkan oleh Parti AMANAH Negara.
Sebagai Pengerusi Parti AMANAH Negara Negeri Selangor, saya mengucapkan Selamat Menyambut Ulangtahun ke 9 Parti AMANAH Negara . Tekad kita untuk menjadikan parti ini sebuah organisasi yang tidak lekang dari ingatan rakyat di negeri ini dan menyampaikan Rahmat Allah kepada sekian Alam.
Yang Berhormat Ir Tn Hj Izham Bin Hashim
Pengerusi Parti AMANAH Negara Negeri Selangor
Exco Infrastruktur kemudahan Awam dan Pertanian Negeri Selangor