Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Abbas Azmi membidas kenyataan jengkel Presiden PAS, Hj Abdul Hadi Awang yang melabelkan AMANAH dan UMNO dengan labelan ‘Mazmumah’ lagi bathil. Dalam satu kenyataan, Abbas mendakwa bekas Duta Besar Ke Timur Tengah itu sering melabelkan pihak lawannya dengan istilah yang menjengkelkan apabila kedudukan pihaknya mula terancam. Malah kenyataan tersebut semata-mata mahu meraih perhatian orang ramai kepada PAS.
Abbas yang juga ADN Seri Serdang berkata, AMANAH berperanan dalam politik Malaysia untuk membongkar segala kesesatan yang dilakukan oleh PAS khususnya menjadikan parti mereka sebagai Agama seolah-olah sesiapa yang menentang PAS umpama menentang Islam. Sedangkan hakikat sebenar PAS merupakan salah satu parti ciptaan manusia yang bergerak hanya atas nama Islam yang pastinya punya kelemahan berbanding Agama Islam yang syumul. Abbas menambah ini menjadi tugas utama AMANAH untuk menjelaskan kepada rakyat untuk tidak terpedaya dengan ajaran bathil PAS yang akan merosakkan keharmonian negara.
Abbas yang juga Pengarah Pembangunan Sumber Manusia AMANAH Selangor juga turut menjelaskan bahawa AMANAH berjaya membawa suara rakyat dalam pentadbirannya apabla inisiatif Payung Rahmah menjadi inisiatif yang dekat dengan rakyat. Terbukti inisiatif yang digagaskan oleh Timbalan Presiden AMANAH selaku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Almarhum Salahuddin Ayub banyak membantu mempermudahkan hidup rakyat. Manakala Presiden AMANAH melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah berjaya mewujudkan projek rintis melipat gandakan pengeluaran makanan dalam negara. Mohamad Sabu membuktikan AMANAH memahami keperluan dan denyut nadi rakyat.
Oleh itu, Abbas mengingatkan kepada Ahli Parlimen Marang agar berhati-hati mengeluarkan kenyataan dan memaparka akhlak yang baik sebagai teladan generasi muda. – Selangor Today