SelangorToday

ABBAS DESAK KERAJAAN DEDAH SIAPA YANG BAWA BLACKROCK MELABUR DI MALAYSIA

Pengerusi Biro Mobilisasi AMANAH Nasional, Abbas Salimmi bin Dato Adzmi menggesa kerajaan untuk mendedahkan siapakah pihak yang mula-mula membawa masuk Blackrock melabur di Malaysia. Kata beliau, dengan nilai pelaburan sebanyak RM239.6 juta setakat Februari 2024, mustahil Blackrock baru mula membuat pelaburan di Malaysia. Jumlah nilai pelaburan yang besar itu sekaligus memperlihatkan bahawa Blackrock telah lama membuat pelaburan di sini.

Abbas yang merupakan Ahli Dewan Negeri(ADN) Seri Serdang mengakui bahawa keadaan di Palestin khususnya di Raffah amat mengecewakan. Penglibatan syarikat yang dimiliki oleh bangsa yahudi Israel di Malaysia wajar dipertimbangkan semula. Namun semata-mata mahu meletakkan tanggungjawab tersebut dibahu Perdana Menteri adalah tidak wajar, sedangkan pelaburan Blackrock telah bermula lebih awal daripada kepimpinan Anwar Ibrahim, malah Blackrock juga dikhabarkan turut melabur di Negeri Kelantan. Maka wajar sekali kerajaan mendedahkan di zaman pemerintahan siapakah Blackrock mula masuk membuat pelaburan atau lebih tepat, siapakah pihak yang membawa Blackrock melabur di Malaysia.

Pengarah Komunikasi AMANAH Selangor itu turut berpandangan wajar kerajaan Malaysia untuk menghentikan sebarang urusniaga baru dengan Blackrock. Tegasnya mulai sekarang Malaysia tidak boleh sesekali menerima mana-mana entiti perniagaan yang berkaitan dengan Israel untuk menjalankan kegiatan ekonomi mereka di Malaysia. Abbas mengingatkan betapa kuatnya sentimen rakyat Malaysia sehingga beberapa nilai keuntungan syarikat pro-israel merosot akibat tindakan boikot. Beliau turut mengingatkan pihak awam untuk melihat isu Blackrock dengan imbangan yang lebih baik apabila tidak boleh hanya menunding jari kepada kepimpinan hari ini semata-mata namun turut melihat siapa yang memulakan kegiatan ekonomi ini bersama pihak pro-israel. –SelangorToday

Exit mobile version