SelangorToday

Abbas Dilantik Ketua Kontinjen SUKMA XXII, Helang Putih Kembali Jadi Maskot Selangor

SHAH ALAM, 16 Ogos – Ahli Dewan Negeri Seri Serdang merangkap Timbalan Pengerusi 2 Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor, YB Abbas Azmi, secara rasmi dilantik sebagai Ketua Kontinjen SUKMA XXII Negeri Selangor yang bakal berlangsung tahun hadapan.

Dalam pada itu, Selangor turut memperkenalkan maskot rasmi SUKMA – Helang Putih yang kembali dipilih selepas kali terakhir digunakan pada edisi 1998, ketika Selangor menjadi tuan rumah.

Pelancaran maskot Helang Putih itu disempurnakan oleh Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari, pada majlis pelancaran SUKMA Selangor 2026 di Dewan Raja Muda Musa malam ini.

Selain maskot, turut dilancar ialah logo rasmi berbentuk obor dengan angka Romawi XXII, melambangkan semangat perjuangan dan kebangkitan kontinjen Selangor dalam temasya sukan terbesar negara itu.

SUKMA XXII Selangor 2026 yang dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos 2026, membawa tema “Rentak Kita, Aksi Kita”, sekali gus menegaskan aspirasi Selangor sebagai tuan rumah yang meraikan bakat, semangat kesukanan dan kepelbagaian rentak rakyat Malaysia.

Mengulas pelantikannya, YB Abbas menyeru seluruh rakyat Selangor untuk terus memberikan sokongan kepada kontinjen negeri.
“Mohon doakan semoga semua berjalan lancar. Dan kita juga menyasarkan sebagai juara SUKMA tahun hadapan,” katanya.

Pelantikan YB Abbas dilihat bakal memperkukuh persiapan kontinjen Selangor, khususnya dalam misi membawa pulang kejuaraan keseluruhan ke bumi Darul Ehsan.

Exit mobile version