SERDANG, 25 Jun 2025 – Ahli Dewan Negeri Seri Serdang, YB Abbas Azmi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada aktivis masyarakat terkenal, Uncle Kentang atas penganjuran Program Hari Terbuka Uncle Kentang yang memberi tumpuan khas kepada golongan pesakit kanser.
Menurut beliau, program tersebut bukan sekadar platform sumbangan dan sokongan, malah menjadi simbol kasih sayang serta solidariti masyarakat terhadap para pejuang kanser yang terus berjuang mengharungi cabaran hidup.

“Saya amat tersentuh dengan semangat para pesakit, sukarelawan dan masyarakat yang hadir memberikan dorongan moral dan bantuan. Kehadiran mereka membuktikan bahawa nilai empati dan kemanusiaan masih subur dalam masyarakat kita,” katanya.
YB Abbas turut menzahirkan penghargaan khusus kepada Uncle Kentang atas komitmen luar biasa dalam membantu golongan memerlukan, terutamanya pesakit kanser yang memerlukan sokongan berterusan bukan sahaja dari aspek kewangan, tetapi juga dari sudut emosi dan sosial.
“Uncle Kentang adalah contoh insan yang menjadikan kerja kebajikan sebagai satu misi hidup. Usaha beliau harus kita sokong dan contohi,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru masyarakat agar tidak hanya menjadi pemerhati tetapi turut sama menyumbang dalam apa jua bentuk – tenaga, masa atau kehadiran – untuk menguatkan jaringan sokongan dalam komuniti.
“Bukan semua mampu memberi wang, tetapi setiap daripada kita mampu memberi sokongan dan kasih sayang. Inilah roh Malaysia MADANI yang perlu kita semarakkan bersama,” tambah beliau.
Program tersebut disifatkan sebagai satu inisiatif penuh makna yang mengangkat nilai-nilai rahmah, prihatin dan inklusif – seiring dengan usaha membina komuniti yang progresif dan penyayang di Selangor.