Ahli Dewan Negeri Seri Serdang, Abbas Azmi dilantik sebagai Ketua Penerangan Pakatan Harapan Selangor setelah Mesyuarat Agung Tahunan PH Selangor dilaksanakan semalam.
Melalui satu kenyataan pagi ini, Abbas MAT yang telah dihadiri oleh pimpinan dan perwakilan PH Selangor termasuk Parti Keadilan Rakyat(PKR), Parti Amanah Negara(AMANAH) serta Parti Tindakan Demokratik(DAP) itu berjaya membentuk kepimpinan penuh PH Selangor.
Katanya lagi, barisan kepimpinan yang dibentuk merupakan satu barisan yang lengkap dan bersepadu antara ketiga-tiga parti komponen PH Selangor bagi mendepani pelbagai cabaran baharu yang bakal muncul kelak.
Abbas yang juga Pengarah Komunikasi AMANAH Selangor menyatakan PH berazam akan terus berazam untuk mengekang amalan takfiri serta permainan kaum yang jelas mampu melemahkan pembangunan Negeri Selangor. Tambahnya, amalan tersebut membantutkan perkembangan generasi pelapis ke arah generasi modal insan yang bijak dan harmoni.
Selain Abbas, bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor, Mohd Khairuddin Othman kekal sebagai Setiausaha PH Selangor. Manakala Jamaliah Jamaluddin,Bendahari DAP Selangor diangkat sebagai Bendahari PH Selangor yang baru.
Amirudin Shari dan Ir.Izham Hashim masing-masing kekal sebagai Pengerusi dan Timbalan Pengerusi 2 PH Selangor. Manakala Ng Sze Han yang baru dipilih sebagai Pengerusi DAP Selangor dipilih sebagai Timbalan Pengerusi 1 PH Selangor.
Mengulas lagi hala tuju PH Selangor pasca MAT semalam, Abbas menegaskan kepimpinan PH Selangor yang ada hari ini akan memperkukuhkan kesepakatan dan kekuatan untuk memastikan PH Selangor selaku peneraju Kerajaan Negeri Selangor meneruskan dasar dan inisiatif membantu rakyat.
PH Selangor juga akan memperkukuhkan hubungan bersama Barisan Nasional Selangor sama ada untuk meneruskan tadbir urus kerajaan negeri mahupun menghadapi pilihan raya selaras dengan keazaman politik diperingkat nasional.
Berikut merupakan Senarai Jawatankuasa PH Selangor:- SelangorToday