
Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Serdang, YB Abbas Azmi menegaskan komitmennya untuk memastikan setiap peringkat pembangunan semula di kawasan Putra Heights dilaksanakan secara inklusif dan mengambil kira kepentingan serta suara penduduk setempat.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi Kick Off Meeting bersama pihak Sime Darby dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) yang diadakan di The Glades Plaza, Putra Heights, hari ini. Sesi tersebut dipengerusikan oleh YBhg. Dato’ Johary Anuar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), dan turut disertai agensi-agensi berkaitan seperti Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor serta wakil komuniti dari RA Amber, Topaz, Citrine dan Kampung Kuala Sungai Baru.

“Saya bertanggungjawab memastikan bahawa projek pembangunan ini benar-benar membawa manfaat kepada rakyat, khususnya dari segi kemudahan awam, keselamatan dan kebajikan,” ujar Abbas.
Menurut beliau, sesi tersebut memberi ruang penting untuk membincangkan pelan tindakan, garis masa pelaksanaan serta memastikan projek yang dirancang tidak mengabaikan pandangan dan keperluan komuniti terlibat.
“Saya amat menghargai peranan Unit Perancang Ekonomi Negeri dalam menyelaras usaha pemulihan pembangunan ini. Keterlibatan pelbagai pihak – daripada agensi kerajaan hingga ke persatuan penduduk – menunjukkan komitmen bersama ke arah pembangunan yang mampan,” katanya lagi.

Turut diadakan ialah lawatan tapak ke Taman Putra Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru, bagi menilai sendiri keadaan semasa serta mendengar secara langsung isu-isu yang dihadapi oleh penduduk.
Abbas turut menegaskan bahawa beliau akan terus memainkan peranan aktif bagi memastikan suara rakyat Seri Serdang sentiasa dibawa ke meja perbincangan dan menjadi sebahagian daripada pelaksanaan dasar serta projek kerajaan.
“Insya-Allah, saya akan pastikan keperluan rakyat diberi perhatian dan tidak diketepikan dalam sebarang pembangunan yang dilaksanakan di kawasan ini,” katanya menutup kenyataan.