Pengarah Komunikasi AMANAH Selangor, Abbas Salimmi Dato Azmi menempelak Dr. Afif Baharin yang mempersoalkan keputusan Speaker Dewan Negeri Selangor, Lau Weng San terkait kedudukan Ahli Dewan Negeri(ADN) Selat Klang, Abdul Rashid Asari. Kata Abbas, apa yang menjadi masalah kepada Dr. Afif yang juga ADN Taman Medan adalah beliau gagal mendengar secara terperinci penjelasan Speaker yang panjang lebar berkaitan status Abdul Rashid. Sebaliknya, ketika speaker sedang membaca kronologi pemecatan Abdul Rashid yang juga bekas Pengerusi BERSATU Selangor itu, Dr. Afif pula membuat sidang media di luar dewan.
Tambah Abbas yang dipilih sebagai wakil rakyat kawasan Seri Serdang pada Pilihan Raya Negeri Ogos tahun lalu, dalam tempoh satu hari, Dr. Afif mengadakan sidang media sebanyak dua kali dengan menyampaikan protesnya terhadap dewan. Selepas itu, beliau masuk ke dalam dewan dan mendakwa tidak diberi peluang untuk mendapatkan penjelasan, sedang ketika Speaker memberi penjelasan, Dr. Afif tiada di dalam dewan. Beliau berkata lagi, Dr. Afif tidak berpuas hati dengan keputusan Speaker yang tidak menyebelahi blok pembangkang, soalnya adakah Dr. Afif dan pembangkang mahu Speaker tunduk kepada kehendak pembangkang sehingga membelakangkan fakta dan panduan yang tersedia?
Sepatutnya pembangkang perlu memahami butir penjelasan Speaker kerana Speaker dewan mempunyai peranan yang besar dalam menentukan perihal wakil rakyat dan dewan. Abbas berkata, Lau selaku peneraju badan legislatif negeri sudah pun mengambil kira kronologi pemecatan, undang-undang tubuh kerajaan Negeri Selangor serta beberapa perlembagaan parti politik sebagai asas keputusan mengekalkan ADN Selat Klang. Jadi tidak wajar Dr. Afif mahu mengheret Speaker mengikut kehendak pembangkang dan menjadikan institusi Speaker Dewan Negeri Selangor sebagai ‘Rubber Stamp’. – SelangorToday