SelangorToday

ABBAS, WAN ANWAR BIDAS KENYATAAN MB SANUSI

Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Abbas Adzmi menempelak kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Besar Kedah, Sanusi Mohd Nor yang menyeru rakyat Selangor memilih pemimpin yang dikategorikan sebagai anak jati Selangor. Ucapan Pengarah Pilihan Raya PN itu disampaikan dalam acara sambutan Aidilfitri PAS Selangor yang berlangsung di Shah Alam. Kata Abbas mempertikai dan memperlekehkan barisan Exco kerajaan negeri termasuk Menteri Besar Selangor adalah tindakan yang tidak berakhlaq. Tambah Abbas yang juga Pengarah Sumber Manusia AMANAH Selangor, perlantikan barisan kepimpinan Negeri Selangor adalah daripada proses Pilihan Raya yang dijalankan dalam PRU ke-14 yang lalu. Sebaliknya Abbas mempersoalkan adakah Sanusi juga dipilih sebagai Menteri Besar Kedah selepas Pilihan Raya Umum atau kepimpinanya dibentuk selepas ada ADUN yang melompat parti.

Kerajaan Negeri Selangor sentiasa komited membantu permasalahan rakyat Selangor sama ada daripada generasi baru lahir sehinggalah warga emas. Ini terbukti meskipun ada barisan pentadbir negeri bukanlah anak jati Selangor, namun sehingga hari ini lebih 40 inisiatif yang kerajaan negeri telah sediakan. Abbas menegaskan kerajaan negeri tidak pernah menganaktirikan pemastautin di Selangor malah menerima manfaat sama seperti anak jati Selangor. Beliau berharap, Sanusi memberikan tumpuan kepada masalah yang lebih besar di Kedah daripada cuba ‘merapu’ di Selangor. Sementara itu, Pengarah Komunikasi AMANAH Selangor, dalam satu kenyataan di Media Sosial beliau merujuk kepada kenyataan Sanusi berkata, asas pemilihan seorang pemimpin Negeri bermula apabila rakyat memilih mereka sebagai wakil di peringkat DUN mahupun Parlimen. Setelah dipilih maka, mereka layak dilantik sebagai Exco mahupun Menteri Besar meskipun bukan anak jati Selangor.

Tambah Wan Anwar yang juga bekas Pegawai Tugas-Tugas Khas Yang Dipertua Dewan Rakyat lagi, tiada undang-undang yang memperuntukkan bahawa seorang yang mahu bertanding di peringkat DUN mestilah lahir dan berkod Selangor dalam Kad Pengenalannya. Malah Wan Anwar memaklumkan ada seorang bekas Menteri Besar Selangor yang lahir di Singapura namun dipilih sebagai Menteri Besar. Soal anak jati mahupun pemastautin tidak boleh dijadikan bahan politik kerana semua pihak telah menerima konsep yang berlaku, kata Wan Anwar. Rakyat Selangor bijak dan faham akan pemilihan seorang pemimpin berbanding kayu ukur yang dinyatakan oleh Sanusi. – Selangor Today

Exit mobile version