SelangorToday

ADA RUNDINGAN BAWA PULANG, DAKWA JHO LOW SECEPAT MUNGKIN – PM ANWAR

PM 10, Anwar Ibrahim mengesahkan kerajaan sedang berunding dengan beberapa negara bagi mengekstradisi ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho yang lebih dikenali sebagai Jho Low. Perdana Menteri berkata, memang ada perundingan secara diplomatik berhubung perkara itu dijalankan dengan beberapa negara.

“Namun, kita tidak pernah mendedahkan ia dengan negara mana. Kita tahu kedudukan di mana dia (Jho Low) berada, dan kita berunding bagi mempercepatkan proses,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan ibu pejabat Persatuan Bulan Sabit Merah sempena sambutan ulang tahun ke-75 persatuan itu, hari ini.

Anwar mengulas laporan yang menyatakan Malaysia sedang berunding dengan China bagi mengekstradisi Jho Low. Pengarang bersama buku ‘Billion Dollar Whale’ mengenai 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Bradley Hope yang memetik sumber, berkata rancangan itu sedang dibincangkan kerajaan berikutan lawatan Anwar ke China, bulan lalu.

Perdana Menteri bagaimanapun enggan menghuraikan butiran rundingan terbabit.

“Kami tidak pernah mengesahkan negara (tempat Jho Low dipercayai bersembunyi). Rundingan mengenai perkara itu sedang dibuat dengan negara terbabit melalui saluran diplomatik yang betul,” katanya.

Ditanya sama ada rundingan itu membabitkan China, Anwar berkata, beliau tidak boleh mengulas mengenainya.

“Kerajaan Perpaduan mahu mendakwa Jho Low atas dakwaan jenayahnya, secepat mungkin. Sudah tentu (mahu mempercepatkan proses). Itu selalu menjadi pendirian kami, malah tegas mengenainya sejak hari pertama (pentadbiran sekarang),” katanya.

Begitupun, Anwar mengaku proses membawa Jho Low adalah rumit.

“Ini kerana rundingan sebegini membabitkan banyak negara, perkhidmatan perisikan, INTERPOL (Polis Antarabangsa) dan lain-lain,” katanya.

Exit mobile version