KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menegaskan bahawa adab berpolitik mesti berteraskan nilai rahmah, khususnya dalam berdepan kesalahan atau musibah yang menimpa seseorang, termasuk pihak yang dianggap lawan atau musuh politik.
Menurut beliau, Islam mengajar umatnya untuk membenci perbuatan mungkar, namun bukan membenci pelakunya, agar individu tersebut sentiasa diberi ruang untuk menyesal dan memperbaiki diri.
“Setiap mukmin itu bersaudara atas apa sahaja kesalahan dan balasan yang terpaksa dilaluinya. Kita diajar untuk membenci perbuatan munkar tetapi tidak kepada pelakunya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau mengingatkan bahawa rahmat Allah meliputi seluruh makhluk di dunia, sebagaimana firman Allah dalam Surah al-A‘raf ayat 156, dan urusan pengakhiran hidup seseorang wajar diserahkan sepenuhnya kepada Allah.
“Di dunia ini kita berpeganglah kepada adab mendambakan kerahmatan Allah untuk semua,” jelasnya.
Dr Mujahid turut menekankan larangan bersikap shamatah iaitu bergembira dengan kesengsaraan atau kesalahan orang lain, meskipun terhadap musuh sendiri. Katanya, Rasulullah SAW menegaskan bahawa perbuatan menghina atau memperlekeh kesalahan orang lain boleh membawa kepada ujian yang sama ke atas diri sendiri.
Beliau memetik hadis Nabi SAW yang diriwayatkan dalam Syarah al-Sunnah oleh al-Baghawi, yang bermaksud sesiapa yang menghina saudaranya kerana dosa atau kesalahan, hampir pasti akan terjebak dalam dosa atau kesalahan yang sama.

Selain itu, beliau turut mengingatkan sabda Rasulullah SAW yang melarang umat Islam menzahirkan kegembiraan atas penderitaan orang lain kerana Allah boleh merahmati orang tersebut dan menguji pihak yang bergembira itu pula.
Dr Mujahid berkata, kesalahan seseorang wajar dilihat sebagai satu bentuk rahmat dan hikmah Allah kepada individu berkenaan, manakala sikap bergembira atas kesalahan orang lain pula boleh menjadi sebab seseorang itu diuji dengan kesalahan yang sama.
“Betapa kita sangat memerlukan adab-adab berpolitik secara Rahmah mutakhir ini memandangkan kita tiada garis merah mengawal perilaku dan bahasa kita,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa penolakan terhadap perbuatan salah tidak boleh dijadikan alasan untuk melanggar adab, nilai dan kemuliaan akhlak yang dianjurkan Islam.
Kenyataan itu diakhiri dengan peringatan bahawa pengutusan Nabi Muhammad SAW sendiri adalah sebagai rahmat kepada seluruh alam.