SelangorToday

ADAKAH ISLAM MASIH TERANCAM DI MALAYSIA? SOAL MP SHAH ALAM

Ahli Parlimen Shah Alam, Hj Azli Yusof mempersoalkan adakah Islam masih terancam di Malaysia setelah Malaysia MADANI membuat sebanyak mungkin usaha untuk mengangkat syiar Islam? Ketika berbahas di Dewan Rakyat terkait Belanjawan Madani 2024, Hj Azli berkata sebanyak RM 1.9 bilion telah diperuntukan kerajaan kepada perbelanjaan pembangunan hal ehwal Islam di Malaysia. Misalnya, pembinaan Institusi Pendidikan Islam dan Tahfiz, RM150 juta untuk penyelenggaraan Sekolah Agama Rakyat berdaftar selain bantuan kepada guru KAFA, Imam, Bilal dan Siak yang berdaftar dibawah JAKIM. Namun usaha ini masih mendapat kritikan dan pandangan remeh sesetengah pihak yang mendakwa Islam semakin terpinggir di bawah Malaysia MADANI.

Disamping itu, Timbalan Pengerusi AMANAH Selangor itu berkata, jika Kerajaan Malaysia MADANI konsisten dalam penurunan defisit fiskal negara dari 0.5 hingga 0.6 % setiap tahun, Malaysia mampu mencapai belanjawan berimbang dalam tempoh 10 tahun. Maka Hj Azli berkata, jika kerajaan perpaduan kekal memerintah sehingga 2033, Malaysia akan dapat merasai semula bajet yang seimbang antara fiskal dan hasil negara sama seperti yang pernah dibuat oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim ketika beliau memikul amanah selaku Menteri Kewangan buat kali pertama pada tahun 1990 sehingga 1998.

Tambah Hj Azli lagi, melalui ucapan pembukaan Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan Madani 2024 yang memetik Surah Al-Qasas ayat 77 iaitu merujuk kepada menekankan dua perkara iaitu berbuatlah ihsan dan jangan melakukan kerosakan. Melalui perintah melakukan ihsan atau kebaikan, kerajaan menterjemahkannya melalui pemerkasaan kemudahan awam, sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana(PMKS) dan penumpuan kepada kebajikan rakyat. Manakala bagi mengelakkan kerosakan pada negara, kerajaan menumpukan usaha untuk mereform institusi, menstruktur semula ekonomi agar lebih mampan dan memperkukuhkan perpaduan dan keselamatan rakyat. Oleh itu, wajar belanjawan kali ini terus disokong oleh semua pihak. – SelangorToday

Exit mobile version