Cadangan pembubaran Parlimen dan mengadakan pilihan raya umum Ke-15 (PRU15) sebaik sahaja Bajet 2023 pada Oktober ini hanya menguntungkan Umno dan Barisan Nasional (BN), kata Pengerusi DAP, Lim Guan Eng.
Beliau berkata, walaupun Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mewakili Umno dan BN, peruntukan belanjawan negara mestilah bersifat inklusif dan menyeluruh. Katanya, langkah menggunakan belanjawan untuk memancing undi PRU15 adalah tindakan menyalahgunakan kuasa kerana menggunakan sumber negara untuk kepentingan politik dan peribadi.
“Sepatutnya bajet negara disediakan untuk kepentingan semua rakyat dan merangka masa depan, bukannya untuk kepentingan Umno atau kroni-kroninya untuk membeli undi. Tarikh PRU15 terpulang kepada perdana menteri dan Yang di-Pertuan Agong, tetapi jangan sesekali guna bajet dan peralatkannya supaya Umno menang,” katanya, menurut laporan Utusan Malaysia.
Semalam, Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hasan menjangkakan masa terbaik untuk PRU15 adalah sebaik Bajet 2023 dibentangkan. Katanya, pembentangan belanjawan perlu mempunyai faktor “wow” memandangkan bajet berkenaan adalah buah tangan Ismail yang datang daripada BN. Bagaimanapun, Guan Eng menyifatkan tahun depan adalah tahun paling sesuai untuk mengadakan PRU15 selepas masalah kebajikan rakyat dapat ditangani.
“Menteri pun ada cakap kita selesaikan kos sara hidup dulu, (Menteri Kesihatan) Khairy Jamaluddin pun saran PRU selepas Covid-19 selesai. Buatlah apabila semua itu sudah selesai. Ini menteri cakap lain, Umno cakap lain. Tunggulah tahun depan. Kalau buat tahun ini juga kita tidak ada masalah, kita akan berusaha lawan menerusi pendekatan khemah besar bersama parti pembangkang, bukan dengan pihak lain seperti Perikatan Nasional (PN),” katanya.