SHAH ALAM, 7 Sept – Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Hj Adly Zahari menyeru jentera parti agar memperkukuh sokongan masyarakat Melayu Islam dengan memberi penekanan kepada penguasaan akar umbi serta agenda pengupayaan rakyat.
Menurut beliau, perjalanan politik AMANAH sejak ditubuhkan pada 2015 bukanlah mudah, namun kejayaan bertahan lebih sedekad membuktikan kekuatan parti itu didorong oleh perjuangan ikhlas dan kerjasama erat dalam Pakatan Harapan.

“Sepuluh tahun pertama adalah fasa kita bertahan. AMANAH bernasib baik kerana mempunyai rakan yang jujur dan ikhlas dalam persahabatan politik, terutama di Selangor yang menjadi tunjang kekuatan parti,” katanya ketika berucap pada Konvensyen AMANAH Selangor 2025 di sini.
Adly berkata, Selangor kini muncul antara negeri yang mempunyai keahlian AMANAH tertinggi, hampir menyamai Kelantan. Justeru, beliau optimis kepimpinan negeri mampu terus mengembangkan pengaruh parti, khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu Islam.
“Untuk menguasai sokongan Melayu Islam, AMANAH mesti memperkukuh cawangan. Budaya masyarakat kita menuntut parti benar-benar dekat dengan rakyat. Bila rakyat disantuni, mereka yakin untuk bersama membangunkan negeri dan negara,” tegas beliau.
Mengulas slogan parti, Amanah, Progresif, Peduli, Adly menegaskan ia bukan sekadar retorik tetapi harus diterjemahkan melalui usaha mengangkat keupayaan rakyat. Katanya, Selangor wajar menjadi model pengupayaan ekonomi, sosial dan digital yang boleh dicontohi negeri-negeri lain.
“Kita mesti mengangkat kemampuan rakyat – bukan sahaja dari segi ekonomi, tetapi juga sosial, digital dan pentadbiran. Selangor telah menunjukkan contoh bagaimana pengupayaan rakyat boleh menjadi teras pembangunan negeri,” ujarnya.
Adly turut menekankan bahawa nilai kepedulian adalah roh perjuangan AMANAH. Parti itu, jelasnya, bukan sahaja peduli terhadap rakyat di tanah air tetapi juga terhadap isu kemanusiaan sejagat di peringkat antarabangsa.
“AMANAH mesti kekal sebagai parti yang bukan sahaja membawa agenda Islam yang progresif, tetapi juga mendokong kepedulian kemanusiaan antarabangsa,” katanya.