 
                KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari tampil menempelak dakwaan Ahli Parlimen Tanah Merah yang mendakwa kerajaan menjadi “jurucakap” kepada syarikat swasta dalam isu pembinaan kilang helikopter AW149 di Batu Berendam, Melaka.
Adly dengan tegas menolak tuduhan itu ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Tanah Merah, Ikmal Hisham Abdul Aziz di Dewan Rakyat hari ini, sambil menyifatkan ia sebagai persepsi tidak berasas.
“Kementerian Pertahanan bukan jurucakap mana-mana syarikat swasta. Itu tidak benar. Apa yang kita bentangkan hanyalah penjelasan teknikal dan keupayaan helikopter berdasarkan maklumat yang sahih,” katanya dengan nada sinis terhadap tuduhan yang berulang kali dibangkitkan oleh pembangkang.

Beliau turut menegaskan bahawa pemilikan kilang helikopter itu kekal di tangan pihak swasta dan kerajaan hanya memastikan aset yang diperoleh benar-benar menepati keperluan pengguna, khususnya Angkatan Tentera Malaysia.
“Perolehan pertahanan dinilai sendiri oleh pihak pengguna dalam perkhidmatan, bukan dibuat sewenang-wenangnya. Jadi, tidak timbul soal kerajaan menjadi pembela syarikat tertentu,” katanya lagi.
Mengulas mengenai pemilihan lokasi, Adly menjelaskan fasiliti di Batu Berendam bukan keputusan terburu-buru, sebaliknya pelengkap kepada ekosistem aeroangkasa negara yang kini berpusat di Subang.
“Kita akui Subang adalah hab utama aeroangkasa, tetapi Batu Berendam juga ada keupayaan tersendiri. Malah, ia menyokong hala tuju Kertas Putih Pertahanan untuk membangunkan industri pertahanan negara,” ujarnya.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Machang mendakwa projek bernilai RM16.4 bilion itu dibuat tanpa ujian menyeluruh dan tidak menjamin kemampuan helikopter AW149 memenuhi keperluan pertahanan.
Namun, Adly menegaskan segala dakwaan itu telah dijawab berkali-kali dengan bukti teknikal dan menuduh Machang cuba mengulangi isu sama bagi mencetuskan keraguan terhadap keputusan kerajaan.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            