SelangorToday

ADN BATU TIGA MAHU BELANJAWAN 2024, BERI PERHATIAN KHUSUS KEPADA GOLONGAN BELIA

Ahli Dewan Negeri(ADN) Batu Tiga, Danial Al-Rashid Harun mengharapkan Kerajaan Perpaduan Selangor menumpukan perhatian mereka khusus kepada golongan Belia di Selangor melalui Belanjawan Selangor 2024. Beliau menjelaskan, tumpuan kepada keberlangsungan hidup golongan belia mesti menjadi salah satu agenda utama Kerajaan Selangor. Golongan belia yang menjadi teras pemacuan ekonomi negeri tidak wajar dikesampingkan malah diperkasakan. Contohnya, belia yang baru meniti hidup, memerlukan ekosistem dan sokongan yang mencukupi agar mereka boleh menjalani kelangsungan hidup. Oleh itu, Danial yang juga Ketua Pemuda AMANAH Selangor mengharapkan agenda belia dapat diteruskan dalam Belanjawan kali ini.

Danial menambah, antara inisiatif yang perlu diperkasakan oleh Kerajaan Selangor adalah menyediakan latihan dan pembiayaan keusahawanan kepada golongan belia. Bantuan yang diberikan ini dapat mengukuhkan kesediaan belia untuk memulakan perniagaan sendiri memandangkan kegiatan ekonomi juga sudah berubah yang menumpukan kepada bekerja sendiri atau perniagaan secara dalam talian. Selain itu, Skim Pinjaman Mudah Rumah boleh disediakan oleh Kerajaan Selangor dengan kadar faedah yang berpatutan serta kadar ansuran yang rendah bagi memastikan golongan keluarga muda dapat memiliki rumah pertama.

Danial yang juga mengetua sayap Pemuda dalam Gabungan HARAPAN juga berharap Kerajaan mewujudkan Program Latihan Pentadbiran dengan membuka peluang kepada golongann pelajar univerisiti dan graduan muda melalukan latihan industri dalam pentadbiran kerajaan. Kerajaan Perpaduan yang dianggotai oleh gabungan HARAPAN dan Barisan Nasional juga akan membentangkan Belanjawan Selangor 10 November ini. – SelangorToday

Exit mobile version