SelangorToday

ADN Batu Tiga Pertahan Projek MyKiosk, Kecam Tohmahan Jejas Integriti Penjawat Awam PBT

Shah Alam, 22 Mei 2025 — Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga, YB Danial Al-Rashid, tampil mempertahankan pelaksanaan projek MyKiosk yang kini menjadi sasaran dakwaan tidak berasas melibatkan kononnya penyelewengan dan salah guna kuasa oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Dalam satu kenyataan tegas hari ini, beliau menyifatkan tohmahan tersebut sebagai cubaan mencemar nama baik ribuan penjawat awam yang terlibat secara profesional dalam proses perolehan di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Tuduhan-tuduhan ini bersifat prejudis dan dibuat tanpa memahami konteks sebenar pelaksanaan projek. Ia bukan sahaja tidak berasas, malah turut memberi imej buruk kepada integriti PBT yang menjalankan tugas mengikut prosedur dan tatacara perolehan,” ujar beliau.

Menurut Danial, KPKT hanya berperanan sebagai penyedia dana, manakala pelantikan kontraktor dan pengurusan perolehan sepenuhnya dilaksanakan oleh PBT melalui proses sebut harga terbuka yang telus dan mematuhi garis panduan kewangan kerajaan.

Beliau yang juga mantan Ahli Majlis MBSA menegaskan, pelaksanaan projek ini dikawal selia rapi dengan penglibatan pelbagai lapisan pegawai serta audit dalaman, sekali gus menafikan wujud sebarang ruang manipulasi individu.

“Sebagai seseorang yang pernah berada dalam sistem, saya tahu proses ini dijalankan dengan profesional. Ia bukan keputusan seorang individu tetapi hasil semak dan imbang institusi,” katanya.

Projek MyKiosk disifatkan sebagai inisiatif berimpak tinggi yang bukan sahaja menyediakan kemudahan lebih selesa dan berlesen kepada penjaja kecil, malah menangani isu kemiskinan bandar dengan mewujudkan peluang ekonomi yang lebih teratur.

Setakat ini, sebanyak 795 kontraktor dilantik di seluruh negara untuk membina kemudahan itu berdasarkan keperluan kawasan masing-masing. Kiosk yang dibangunkan juga dilengkapi sistem solar dan menggantikan struktur khemah usang yang sebelum ini digunakan oleh peniaga.

“Ini bukan projek elit. Ia untuk rakyat marhaen. Kita mahu penjaja kecil ada tempat yang bersih, selamat, dan sah di sisi undang-undang,” tegas Danial.

Dalam kenyataan sama, beliau turut mengecam sesetengah pihak yang sengaja mencipta persepsi demi kepentingan politik sempit dan menyoal sama ada mereka benar-benar memahami operasi kerajaan tempatan.

“Persoalannya, adakah mereka benar-benar faham struktur kerja di PBT? Atau sekadar mahu memperlekeh penjawat awam demi keuntungan politik jangka pendek?” soal beliau.

YB Danial menggesa agar semua pihak menghentikan permainan politik yang boleh menggagalkan usaha kerajaan dalam memperkasa penjaja kecil dan pembangunan ekonomi rakyat terbanyak.

“Jangan cemarkan usaha murni ini hanya kerana ingin meraih publisiti atau menyerang lawan. Ini soal memperkukuh masa depan ekonomi rakyat bawahan,” katanya mengakhiri kenyataan.

Exit mobile version