SelangorToday

ADN BUKIT ANTARABANGSA CADANG ANJUR JUALAN MURAH LEBIH KERAP

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Antarabangsa bercadang untuk menganjurkan Jualan Ehsan Rahmah (JER) lebih kerap susulan permintaan tinggi penduduk.

Kamri Kamaruddin berkata memahami keperluan masyarakat, pihaknya sentiasa berhubung dengan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) untuk menetapkan tarikh program jualan murah.

“Ini merupakan kali ketiga kita anjur JER dalam masa dua bulan, Alhamdulillah, sambutan sangat hebat daripada penduduk dan sentiasa menjadi tumpuan penduduk sekitar.

“Pejabat saya sentiasa berhubung dengan PKPS untuk dapatkan slot, dua hari lagi kita akan adakan, minggu depan juga kita dapat satu lagi slot. Kita mahu pastikan penduduk terus mendapat manfaat,” katanya ketika ditemui.

Terdahulu, lebih 500 ekor ayam habis dijual dalam masa dua jam pada program JER peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa di Dewan MPKK Kampung Sri Tanjung, Kampung Melayu Ampang, hari ini.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Setakat ini, program itu sudah dianjurkan di 2,400 lokasi seluruh negeri dan dianggarkan ia memberi manfaat kepada 4.5 juta penduduk.

PKPS pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Lokasi terkini JER seluruh negeri boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS

Exit mobile version