Site icon SelangorToday

ADN Gombak Setia Dikenakan Celaan Rasmi Dewan Negeri Selangor

Hilman

SHAH ALAM, — Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini secara rasmi mengenakan censure (celaan) terhadap Ahli Dewan Negeri (ADN) Gombak Setia, Hilman Idham, selepas beliau didapati menimbulkan prasangka buruk terhadap perjalanan sidang berdasarkan kenyataan beliau pada 24 November 2023.

Keputusan itu diumumkan oleh Timbalan Speaker DNS, Mohd Kamri Kamaruddin, ketika mempengerusikan sidang. Kamri menegaskan bahawa Dewan memandang serius perbuatan ADN berkenaan yang didakwa cuba memberikan gambaran negatif terhadap kesaksamaan Speaker dan Timbalan Speaker dalam menguruskan persidangan.

Dalam pembacaan keputusan jawatankuasa, Kamri berkata Dewan memutuskan bahawa Hilman telah “cuba menaruh prasangka buruk di dalam Dewan melalui petikan ucapannya” dan beliau diingatkan supaya membuat semakan serta pertimbangan sewajarnya sebelum berucap.

Beliau menambah bahawa Speaker dan Timbalan Speaker sentiasa adil dalam memberi ruang kepada semua ADN, termasuk pembangkang, dan Hilman seharusnya menggunakan hak tersebut dengan cara yang berhemah.

“Dengan ini, Dewan dengan rasminya mencela tindakan Yang Berhormat terhadap Dewan ini, dan saya perintahkan pencelaan ini direkodkan,” tegas Kamri.

Beliau turut menekankan bahawa keputusan jawatankuasa hak dan kebebasan bukan bermotif politik atau bertujuan menindas mana-mana pihak, sebaliknya dibuat mengikut peraturan serta kuasa Dewan.

Terdahulu, ADN Sentosa Dr Gunarajah A/L R George membawa usul di bawah Peraturan Tetap 76(5) agar Dewan menerima Penyata Jawatankuasa Hak dan Kebebasan berhubung tindakan Hilman pada sidang Belanjawan 2024 tahun lalu.

Beliau menjelaskan latar belakang isu tersebut, termasuk aduan bahawa Hilman didakwa melaungkan kata-kata “Speaker DAP” ketika sesi Dewan pada 24 November 2023 — satu tindakan yang membawa kepada rujukan rasmi ke jawatankuasa hak dan kebebasan.

Usul tersebut diterima setelah penyiasatan jawatankuasa mendapati perkara berkenaan telah berlaku dan laporan penuh dibentangkan kepada Dewan.

Melalui keputusan celaan ini, Dewan Negeri Selangor menghantar mesej jelas bahawa sebarang perilaku yang menjejaskan integriti institusi legislatif tidak akan dikompromi.

Kamri menutup pengumuman dengan peringatan:
“Saya harap perlakuan tersebut janganlah diulang oleh sesiapa pun di Dewan ini.”

Exit mobile version