SelangorToday

ADN MERU CABAR PN SELANGOR JADI PEMBANGKANG YANG MATANG

Ahli Dewan Negeri(ADN) Meru, Ustazah Mariam Abdul Rashid mencabar Perikatan Nasional Selangor bertindak sebagai pembangkang yang matang dan tidak memanipulasikan isu 3R sepanjang menjadi pembangkang penggal ini. Ustazah Mariam berkata, jika benar komitmen Ketua Pembangkang Selangor, Azmin Ali untuk mempertahankan agama Islam, Institusi Raja dan orang melayu, sepatutnya ADN Hulu Kelang itu memimpin pasukannya untuk bergerak dengan lebih matang dan profesional. Ia termasuklah mengelakkan daripada wakil-wakil rakyat PN sentiasa menggunakan isu 3R di dalam media sosial demi memburukkan kerajaan Selangor dan menempa populariti yang lebih tinggi.

Sebaliknya, Naib Pengerusi AMANAH Selangor itu menegaskan bahawa di Selangor syiar Islam terus diperkasakan dengan pertambahan peruntukan menjadi RM34 juta. Peruntukan itu merangkumi program Festival Turath Islam, pemerkasaan institusi fatwa negeri, menjaga kebajikan pelajar Islam di Timur Tengah, insentif haji, pembinaan kompleks Islam dan naik taraf masjid sedia ada. Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Selangor 2024 di Dewan Negeri Selangor pada Khamis.

Dalam pada masa yang sama, Ustazah Mariam mencadangkan kerajaan Selangor melaksanakan reformasi perkhidmatan di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan(PBT) sesegera yang boleh. Ia boleh dimulakan dengan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan dengan penumpuan kepada penambahbaikan urus tadbir dan memperkasakan fungsi PBT terutamanya dalam menyelesaikan masalah rakyat secara responsif dan efisien. – SelangorToday

Exit mobile version