SelangorToday

ADN Meru Cadang Pindaan RUU Pentadbiran Agama Islam Disusuli Pendekatan Hikmah, Didik Masyarakat

SHAH ALAM, 7 Julai 2025 — [DN Selangor] Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru, Mariam Abdul Rashid menyeru agar pindaan Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2025 yang dibentangkan di Dewan Negeri Selangor hari ini tidak hanya bersifat legalistik, tetapi turut diiringi pendekatan pendidikan dan komunikasi strategik bagi mengelakkan penyalahgunaan tafsiran agama.

RUU yang dibentangkan oleh EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Dr Mohammad Fahmi Ngah itu bertujuan memperkukuh peranan Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai asas pentadbiran Islam negeri Selangor.

Namun bagi Mariam, dalam konteks masyarakat majmuk dan kedudukan Selangor sebagai negeri rujukan dalam pentadbiran Islam, penekanan terhadap fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah — khususnya aliran al-Asy’ariyyah dan al-Maturidiyyah — perlu disampaikan dengan cermat, inklusif dan berpaksikan ilmu.

“Kita tidak boleh benarkan ruang ini membuka pintu kepada budaya takfiri, kafir-mengkafir, yang mencemarkan kesucian dakwah dan merosakkan perpaduan umat Islam,” tegas beliau dalam perbahasan.

Mariam turut memberi amaran bahawa budaya pelabelan ekstrem ini semakin mudah tersebar melalui media sosial yang tidak terkawal, justeru memerlukan intervensi berstruktur daripada kerajaan.

Beliau mencadangkan agar pindaan RUU ini disusuli dengan pelan tindakan komunikasi strategik merangkumi dialog muhibah, latihan kefahaman kepada pendakwah, serta pemantauan terhadap elemen ekstremis dalam talian.

“Kalau di peringkat pentadbiran mungkin boleh dikawal, tetapi media sosial tidak ada sempadan. Kita perlukan strategi untuk membendung aliran yang bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah,” ujarnya lagi.

Mariam turut menekankan pentingnya modul latihan kefahaman secara berstruktur kepada para pemegang tauliah di Selangor. Modul itu menurutnya perlu memberi penekanan terhadap adab penyampaian dakwah dengan hikmah, serta mengelakkan budaya menghukum dan melabel.

“RUU ini tidak boleh menjadi hujah untuk menyekat keterlibatan atau perbezaan pandangan yang masih berada dalam kerangka Ahli Sunnah Wal Jamaah yang luas,” katanya sambil menyeru agar pindaan ini menjadi pemangkin kepada pendidikan masyarakat, bukan sekadar dokumen perundangan semata-mata.

Beliau menutup perbahasannya dengan menyatakan bahawa pendekatan dakwah dan pentadbiran agama mesti dipandu oleh ilmu, kasih sayang, hikmah dan teladan, agar institusi agama terus relevan kepada generasi muda dan masyarakat umum.

Exit mobile version