SelangorToday

ADN MERU CADANG SEKOLAH KAFA DI SELANGOR DIINSTITUSIKAN

Dewan Selangor | Demi meneruskan pemerkasaan kepada pendidikan Islam di Selangor, Ahli Dewan Negeri Kawasan Meru, Mariam Abdul Rashid mencadangkan kepada Kerajaan Negeri untuk menginstitusikan sekolah rendah Islam KAFA di Selangor. 

Proses penginstitusian ini sama seperti dengan yang telah dilakukan kepada Universiti Islam Selangor(UIS) dan Kolej Universiti Islam Selangor(KUIS) satu ketika dahulu. Tambah Mariam, cadangan ini juga membolehkan status perkhidmatan guru-guru dinaik taraf kepada ‘contract of service’ dan diberikan gaji bermaruah iaitu minimum RM2,000. Buat masa ini guru sekolah rendah Islam KAFA hanya menerima elaun berjumlah RM1,500 sebulan. 

Sebelum itu ketika membahaskan Belanjawan Selangor 2025 di Dewan Negeri Selangor pada Selasa berkata, Kerajaan Negeri Selangor begitu serius dalam merealisasikan pendidikan sebagai pemangkin kemajuan ekonomi negeri meskipun pendidikan diletakkan dibawah Senarai Persekutuan. Katanya lagi, penghargaan diberikan kepada Kerajaan Negeri apabila memperuntukkan RM4.5 Juta untuk menggantikan kemudahan asas di sekolah-sekolah agama di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Selangor(JAIS).

Disamping itu, Naib Pengerusi AMANAH Selangor itu turut bertanyakan kepada Kerajaan Negeri adakah guru-guru sekolah rendah Islam KAFA ini menerima kursus dan latihan setara dengan guru-guru di bawah seliaan Kementerian Pendidikan Malaysia(KPM). Mariam juga turut mencadangkan Kerajaan Negeri menyediakan bantuan pembiayaan untuk guru-guru yang ingin menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Bantuan ini dijangka mampu memperkasakan kualiti pendidikan seliaan Kerajaan Negeri. – SelangorToday

Exit mobile version