Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) agar mengambil tindakan penguatkuasaan lebih tegas terhadap individu yang membuang sampah ke dalam sistem saliran, yang disifatkan sebagai punca utama kejadian banjir kilat di kawasan itu.
Gesaan itu dibuat susulan aduan yang diterima melalui mesej Facebook berhubung timbunan sampah di parit tepi jalan Batu 5 1/2, Jalan Meru Klang (FT3217).
Menurut beliau, tindakan segera telah diambil oleh kontraktor Syarikat Konsesi JKR Persekutuan, Road Care, dengan kerja-kerja pembersihan dijalankan selepas aduan disalurkan.

“Saya berterima kasih kepada JKR Klang atas tindakan pantas mereka meskipun jalan tersebut di bawah bidang kuasa JKR Persekutuan. Namun, isu sebenar berpunca daripada sikap segelintir masyarakat yang membuang sampah sewenang-wenangnya ke dalam longkang,” kata Mariam Abd Rashid di laman sosialnya.
Beliau menegaskan sudah tiba masanya tindakan penguatkuasaan dilaksanakan tanpa tolak ansur bagi membendung amalan tidak bertanggungjawab itu, yang bukan sahaja menjejaskan kebersihan, malah membahayakan keselamatan awam.
“Saya harap PBT dan agensi berkaitan dapat merangka satu dasar tegas dalam menghalang pembuangan sampah ke dalam sistem saliran. Ini penting demi mengelakkan kejadian banjir kilat yang sering menyebabkan kerugian kepada penduduk,” tambahnya.
Beliau turut menyatakan komitmen untuk terus memantau isu-isu kebersihan dan alam sekitar di kawasan Meru selaras dengan aspirasi #MalaysiaMadani dan #KitaSelangorMajuBersama.