Ahli Dewan Negeri Selangor bagi kawasan Meru, Ustazah Mariam Abdul Rashid dilantik sebagai Naib Ketua Angkatan Wanita AMANAH Negara(AWAN) Nasional bagi sesi 2023 hingga 2026. Perlantikan tersebut diumumkan oleh Ketua AWAN Nasional, Aiman Athirah Sabu selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan AWAN kali ke-2 di Wisma AMANAH, Kuala Lumpur. Ustaz Mariam sebelum ini merupakan Naib Pengerusi AMANAH Selangor yang memimpin Biro Kebajikan AMANAH telah diberikan kepercayaan pula oleh AWAN memimpin Biro Kebajikan, Kemanusiaan dan Bencana Alam sayap Parti AMANAH Negara itu.
Ketika dihubungi, beliau menyatakan perlantikan tersebut merupakan pengiktirafan kepimpinan AWAN kepada beliau, namun beliau tetap menganggap ia sebagai satu amanah yang berat untuk dipikul oleh beliau memandangkan perlantikan kali ini memberikan peranan penuh kepada beliau membantu kepimpinan AWAN meliputi seluruh negara bukan lagi hanya di Selangor. Ustazah Mariam yang berjaya mempertahankan kerusi AMANAH-HARAPAN bagi DUN Meru dalam Pilihan Raya Negeri Selangor tahun lalu akan menggunakan pengalamannya di Selangor sebagai aktivis kebajikan untuk menjalankan gerak kerja di peringkat nasional pula.
Mengulas mengenai cadangan yang dikemukakan oleh AWAN kepada kerajaan untuk menggubal Akta Parlimen Berpenggal Tetap, akta tersebut wajar digubal oleh kerajaan memandangkan usaha untuk menukar kerajaan kerap didengari sejak kerajaan perpaduan memerintah, ura-ura itu jelas mendatangkan ketidakharmonian dalam masyarakat serta pertadbiran, maka dengan adanya penggubalan akta tersebut, ia akan menjamin kedudukan kerajaan yang ada meskipun berlaku krisis politik. Ia akan mempertahankan kerajaan yang mampu mengekalkan kepercayaan pelabur, kelangsungan ekonomi dan urustadbir negara. – SelangorToday