
Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru, YB Mariam Abdul Rashid, telah mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Solusi Banjir DUN Meru bersama pelbagai agensi teknikal dan pihak berkepentingan dalam usaha mencari penyelesaian menyeluruh terhadap isu banjir yang kerap melanda kawasan tersebut.
Mesyuarat yang diadakan di Daerah Klang itu melibatkan penyertaan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), KDEB Waste Management, Roadcare, Infrasel, Ahli Majlis MBDK, serta wakil Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Meru dan Kampung Budiman. Turut hadir ialah wakil daripada Sime Darby Property yang memberikan taklimat mengenai perkembangan Projek Pembangunan Perumahan di Bandar Bukit Raja.

Menurut YB Mariam Abdul Rashid, mesyuarat tersebut memberi tumpuan kepada tindakan segera dan jangka panjang dalam menangani isu banjir, termasuk mengenal pasti kawasan ‘hot spot’ banjir serta pelaksanaan solusi jangka pendek.
“Antara fokus utama ialah pelaksanaan jangka pendek yang boleh mengurangkan risiko banjir kepada penduduk. Untuk jangka panjang pula, kita telah berbincang tentang Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan dan kini berada di peringkat reka bentuk kolam takungan serta pelebaran Sungai Kapar Kecil dan Sungai Kapar Besar,” jelas beliau.

Namun, katanya, proses pembinaan kolam takungan memerlukan masa kerana ia melibatkan pengambilalihan tanah milik persendirian.
“Saya akan terus mengikuti rapat perkembangan projek ini agar pelaksanaannya tidak tertangguh dan memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk Meru,” tambah YB Mariam.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang hadir dan berharap usaha penyelarasan ini dapat dipermudahkan serta berjalan lancar demi kesejahteraan rakyat.