 
                MERU, 29 Mei 2025 – Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru, Mariam Abd Rashid telah menerima kunjungan daripada pihak pengurusan Sekolah Kebangsaan Meru 2, termasuk Guru Besar dan wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan kebajikan sekolah tersebut.
Pertemuan itu memberi tumpuan kepada keperluan membaik pulih bangunan sekolah yang sedia ada, penambahan kemudahan asas serta langkah-langkah penambahbaikan untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif bagi murid-murid di kawasan Meru.
Mariam menyatakan penghargaan terhadap keprihatinan dan sikap proaktif pihak sekolah dan PIBG dalam memperjuangkan kepentingan pelajar serta kebajikan warga pendidik.

“Saya amat menghargai usaha pihak sekolah dan PIBG. Insya-Allah, saya akan membawa perkara ini kepada perhatian pihak berwajib agar tindakan susulan dapat dilaksanakan,” katanya.
Beliau turut menegaskan kepentingan kerjasama erat antara pemimpin masyarakat, institusi pendidikan dan ibu bapa dalam memastikan kecemerlangan pendidikan generasi muda.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen ADN Meru dalam memperkukuh jaringan kerjasama akar umbi demi pembangunan pendidikan yang inklusif dan mampan di Selangor, selari dengan semangat #MeruRahmah dan aspirasi #MalaysiaMadani.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            