SelangorToday

ADN MERU TURUN PADANG, EDAR BANTUAN KEPADA MANGSA BANJIR

Ahli Dewan Negeri Meru menyalurkan bantuan makanan kepada mangsa terjejas banjir di beberapa perumahan hari ini.

Mariam Abdul Rashid berkata beliau turut menasihatkan penduduk yang terjejas bah untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

“Saya salurkan makanan kepada mereka sambil menasihatkan agar mereka berpindah ke PPS kerana bimbang sekiranya banjir semakin teruk selain boleh berlaku kejadian litar pintas.

“Saya harap mereka segera berpindah kerana kita telah menyediakan PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Binjai, Meru,” katanya ketika dihubungi.

Pagi tadi, Mariam turun ke PPS SK Sungai Binjai bagi menyantuni 138 mangsa. Keperluan mereka termasuk makanan, minuman dikendali oleh Jawatankuasa Pengurusan Komuniti Kampung (JPKK).

“Saya berharap penduduk bersabar dan buat masa ini duduk dulu di PPS sehingga banjir benar-benar reda. Saya juga telah hubungi pihak Jabatan Pengairan dan Saliran meminta mereka mengepam air keluar,” katanya.

Menurut Pusat Operasi Smart Selangor dua PPS dibuka bagi menempatkan 159 mangsa daripada 39 keluarga susulan kediaman mereka dilanda banjir hari ini.

Seramai 21 mangsa ditempatkan di PPS Balai MPKK Bukit Kapar, manakala PPS SK Sungai Binjai, Meru menempatkan 138 mangsa.-SelangorKini

Exit mobile version