SelangorToday

ADN PH JANGAN TINGGI DIRI, TURUN SANTUNI RAKYAT – RAFIZI

Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor digesa memanfaatkan tempoh berbaki beberapa bulan sebelum pilihan raya negeri (PRN) untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berkata wakil rakyat harus meyakinkan penduduk di kawasan masing-masing berhubung perubahan yang sedang dilaksanakan kerajaan perpaduan.

“Kalau kata YB (Yang Berhormat) dah hebat sangat, turun balik (jumpa rakyat). Kalau contohnya tiga empat tahun jarang jumpa dengan jentera parti, cepat-cepat (berbuat demikian).

“(Dalam tempoh) empat lima bulan kena nampak dekat dengan rakyat. (Tanggungjawab ADN) sama berat dengan tanggungjawab (menteri di persekutuan) kerana kena yakinkan rakyat bahawa perubahan sedang berlaku sedikit sebanyak,” kata Rafizi Ramli.

Beliau berucap pada Konvensyen PRN KEADILAN Selangor di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini yang turut dihadiri Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dalam pada itu, Rafizi yang juga pengarah Pilihan Raya Pusat memaklumkan kempen PRN akan bermula segera selepas sambutan Tahun Baharu Cina.

“Insya-Allah kalau boleh laksanakan (kempen) dalam empat lima bulan ini, maknanya rakyat boleh tengok KEADILAN dan HARAPAN sekarang jadi sebahagian kerajaan persekutuan.

“Cara kita sama, masih tumpukan isu rakyat. Insya-Allah jangan bimbang sangat saya rasa semuanya akan berjalan lancar di Selangor,” katanya.

Exit mobile version