SelangorToday

ADN SERI SERDANG CADANG PAS TINGGALKAN BERSATU

Ahli Dewan Negeri(ADN) Seri Serdang, Abbas Salimmi Dato Azmi mencadangkan kepada Pas supaya meninggalkan rakan sekutunya BERSATU memandangkan Pas terbukti mempunyai keupayaan dan kekuatan sendiri. Katanya, Pas yang baharu sahaja berjaya mempertahankan kerusi DUN Sungai Bakap 6 Julai lalu memperlihatkan kekuatan Pas yang berjaya menguasi undi berbanding BERSATU yang kalah dalam Pilihan Raya Kecil di Kuala Kubu Bharu. Ia juga menunjukkan betapa BERSATU tidak mempunyai sebarang nilai tambah dalam kerjasama bersama Pas.

Beliau yang juga Pengarah Komunikasi AMANAH Selangor berkata demikian ketika memulakan sesi perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Selangor 1 di Dewan Negeri Selangor semalam. Namun beliau menambah, meskipun Pas berjaya memenangi kerusi Sungai Bakap dengan majoriti yang lebih besar, kerajaan Pusat dan Negeri kekal ditadbir oleh Kerajaan Perpaduan. . Di samping itu, Abbas menyatakan fahaman ghuluw mula meresap ke dalam fikiran masyarakat. Kesannya ia dapat dilihat apabila pemain bola kebanggaan Selangor turut terkena tempiasnya apabila sikap ‘saya betul dan dia salah’ menguasai diri. Justeru beliau mencadangkan kerajaan negeri memperkasakan program-program yang boleh membawa asatizah-asatizah di Selangor untuk memberi pencerahan kepada isu ghuluw dalam masyarakat.

Abbas turut menyentuh keadaan premis Kelas Al-Quran & Fardu Ain (KAFA) yang semakin daif dan uzur. Kata Pengerusi Biro Mobilisasi AMANAH Nasional itu, meskipun kerajaan telah merancang untuk membangunkan pelbagai tempat baharu melalui Rancangan Selangor 1, tetapi ia tidak boleh mengkesampingkan premis pendidikan anak-anak sedia ada. Faktor utama keadaan tersebut adalah disebabkan oleh dana yang tidak mencukupi, oleh itu Abbas mahu kerajaan negeri melihat bentuk bantuan yang boleh disalurkan bagi menaiktaraf sekolah KAFA yang ada. Sementara itu, dalam perbahasannya juga, Abbas melihat pembangunan Stadium Shah Alam akan menjadi mercu tanda pembangunan sukan yang aktif di Selangor. Walaupun pelaksanaannya dipolitikkan, namun beliau percaya kewujudan stadium tersebut kelak bukan sahaja akan menjadi alat penyatuan rakyat melalui elemen kesukanan sahaja malah akan menjadikan Selangor dikenali dunia.  – SelangorToday

Exit mobile version