SelangorToday

ADN SERI SERDANG GALAK BUDAYA DERMA DARAH, LAMBANG KASIH SAYANG DAN PERPADUAN

Dalam usaha memupuk budaya saling membantu dan memperkukuh nilai kemanusiaan dalam masyarakat, YB Abbas Azmi, Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Serdang, telah menghadiri Program Derma Darah anjuran Persatuan Nalanda yang berlangsung di Taman Sri Serdang hari ini.

Program tersebut berjaya menarik penyertaan ramai penduduk setempat dari pelbagai latar belakang yang tampil untuk menderma darah. Kehadiran YB Abbas bukan sahaja memberi sokongan moral kepada para penganjur dan penderma, malah turut memperkukuh mesej penting tentang tanggungjawab sosial dan kepedulian terhadap sesama insan.

“Amalan menderma darah adalah lambang kasih sayang dan perpaduan. Setiap titisan darah yang didermakan mampu menyelamatkan nyawa. Ini adalah satu bentuk ibadah dan amal jariah yang perlu dipupuk dalam masyarakat kita,” ujar YB Abbas.

Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada Persatuan Nalanda atas usaha berterusan menganjurkan program-program yang berimpak tinggi kepada masyarakat, khususnya dalam membantu pihak hospital menampung keperluan bekalan darah.

YB Abbas sempat berinteraksi dengan para penderma, sukarelawan serta petugas kesihatan, dan memuji komitmen mereka dalam memastikan kelancaran program. Beliau menyifatkan pengorbanan mereka sebagai bukti kekuatan semangat komuniti di Seri Serdang.

“Saya menggalakkan lebih banyak komuniti dan NGO di DUN Seri Serdang untuk menganjurkan program seperti ini. Ia bukan sahaja menyumbang kepada sistem kesihatan, tetapi juga mengeratkan hubungan antara kaum serta menyemai nilai prihatin dalam kalangan rakyat,” tambah beliau.

Beliau menegaskan bahawa program seperti ini selaras dengan aspirasi Malaysia Madani dan visi Kita Selangor Maju Bersama, yang menekankan pembangunan seimbang antara fizikal dan nilai kemanusiaan.

Exit mobile version